
Ketua analisa politik dan sosial di Penang Institute, Wong Chin Huat berkata, rayuan PPBM kepada pengundi tradisional Umno tidak bermakna ia harus menjadi parti pilihan untuk kawasan bermajoriti Melayu.
“Malah, jika PPBM bertanding terlalu banyak kerusi, ia akan menakutkan pengundi yang menganggapnya sebagai satu lagi Umno,” katanya.
“Dan tidak masuk akal bagi penyandangnya mengosongkan kerusi untuk sekutu mereka. Ia jarang sekali berlaku.”
Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), PKR akan mempertahankan kubu kuatnya di Permatang Pauh serta kerusi majoriti Melayu di Nibong Tebal dan Bayan Baru.
Parti itu juga akan bertanding di Balik Pulau, yang dimenangi BN pada PRU lalu.
Sementara itu, satu-satunya kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada PPBM di Pulau Pinang ialah Tasek Gelugor.
Wong berkata, PKR sudah mantap di Pulau Pinang, negeri kelahiran Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahad lalu, PH mengumumkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan Amanah (27 kerusi).
Ia juga mengumumkan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, sementara mencari jalan membebaskan Anwar dan membolehkannya kembali aktif politik dan mengambil alih jawatan itu.
Kerusi Parlimen Balik Pulau
Seorang lagi penganalisis dari institut dibiayai kerajaan negeri itu, Nidhal Mujahid percaya PKR akan menurunkan bekas ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff di kerusi tersebut.
Pada 2008, Yusmadi memenangi kerusi itu untuk PKR dengan majoriti 708 undi mengalahkan calon Umno, Datuk Norraessah Mohamad.
Beliau tidak diturunkan pada PRU 2013, sebaliknya PKR memilih Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang tewas kepada Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya daripada Umno dengan majoriti 1,539 undi. Dr Hilmi kini ialah timbalan menteri kesihatan.
Nidhal juga mengalu-alukan keputusan tidak meletakkan calon PPBM di kawasan Melayu.
Beliau berkata, ia menunjukkan PH cuba menghapuskan persepsi kerusi Melayu di luar bandar hanya untuk parti berteraskan Melayu.
“Ini adalah perubahan baik berbanding politik berasaskan kaum,” katanya.