
Sebaliknya, pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga calon perdana menteri gabungan itu berkata beliau lebih berminat kepada 3 kerusi iaitu Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya.
“Saya belum fikir mengenai kerusi Parlimen Gombak lagi,” katanya selepas merasmikan PPBM Bahagian Setiawangsa malam tadi.
“Terima kasih banyak tetapi saya sudah buat keputusan di antara 3 kerusi ini,” katanya.
Azmin sebelum ini berkata beliau sedia melepaskan kerusi Gombak.
“Saya bersedia memberi laluan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh PKR. Mari membingkai muafakat demi rakyat,” kata menteri besar Selangor itu melalui Twitter.
Ia susulan peringatan terbuka Datuk Zaid Ibrahim, yang berkata Dr Mahathir belum tentu menang di Kubang Pasu, Putrajaya mahupun Langkawi.
Sebaliknya, Zaid berkata PH perlu menjamin kerusi selamat untuk bekas perdana menteri itu.
Azmin menang di Gombak pada 2008 dengan majoriti 6,867 undi, dan mempertahankan kerusi itu pada 2013 tetapi dengan dengan majoriti merosot kepada 4,734 undi.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau sedia berbincang semula dengan Amanah untuk diberi peluang bertanding di Kuala Lumpur.
“Kalau ada cadangan, kita hendak dengar. Apa-apa cadangan kita okay. Kita boleh dengar, tetapi sama ada hendak setuju atau tidak, itu perkara lain,” katanya.
Amanah tidak diperuntukkan sebarang kerusi di ibu negara. PPBM pula akan bertanding di 2 buah kerusi di Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya.