
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin dalam catatan di Facebooknya semalam berkata, pertemuan itu diadakan di kediaman Maria Castillo Fernandez, duta EU dan ketua delegasi EU ke Malaysia.
Katanya, bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu ditemani Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.
Turut hadir adalah Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, pelbagai isu dibincangakn dalam pertemuan itu, termasuk inisiatif EU untuk memerhati pilihan raya umum ke-14 atas jemputan kerajaan persekutuan dan perkembangan tindakan diambil negara EU dalam isu 1MDB.
“Seperti dulu-dulu apabila berjumpa Dr Mahathir adalah peristiwa penting bagi para diplomat asing di Malaysia,” katanya merujuk zaman pemerintahan Dr Mahathir dari 1981 hingga 2003.
“Walaupun beliau bukan perdana menteri lagi, tetapi sekadar calon perdana menteri, namun suasananya tetap sama.”
Pada 7 Januari lalu, PH mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka, jika gabungan 4 parti pembangkang itu memenangi PRU14.