
Ketua Konservator Datuk Sam Mannan berkata dakwaan Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah itu tidak benar, dan membidas kumpuan itu kerana memfitnah dan menyebarkan perkara tidak benar yang berniat jahat.

“Perkara yang paling tidak konsisten dalam dakwaan-dakwaan itu ialah peralatan yang dipaparkan menunjukkan tanda-tanda pendaftaran yang tidak terdapat di Sabah,” katanya.
Mannan berkata Lembangan Maliau diwartakan sebagai kawasan perlindungan penuh (TPA) maka lesen pembalakan tidak boleh diberikan.
“Pasukan anti pemburuan haram Jabatan Perhutanan Sabah melawat kawasan itu baru-baru ini mengesahkan kemurnian kawasan itu,” katanya, dan menambah rizab hutan itu diurus untuk penyelidikan dan pemeliharaan sahaja.

Beliau berkata Lembangan Maliau dikawal baik oleh kehadiran NGO, penyelidik, pelancong dan Yayasan Sabah, di samping pengawasan oleh pihak jabatan.
“Kedudukannya yang dekat dengan Lebuhraya Kalabakan dan mudah didatangi orang juga bermakna sebarang aktivisi mencurigakan akan dikesan dengan segera,” kata Mannan, dan menambah “laporan melulu” membazirkan sumber kerajaan dan tenaga kerja untuk menangani dakwaan itu.
Mannan berkata usaha pemeliharaan hutan dan langkah-langkah perlindungan alam sekitar oleh kerajaan negeri diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Semalam, Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah berkata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman harus dipertanggungjawabkan susulan “bukti baharu” aktiviti pembalakan.
Kumpulan itu turut menyediakan gambar tunggul-tunggul kayu, jentera dan lori membawa balak.