MyKad akan diimbas secara rawak di lapangan terbang Sabah

MyKad akan diimbas secara rawak di lapangan terbang Sabah

Pihak berkuasa tidak akan melepaskan sindiket dan pemegang kad pengenalan palsu daripada tindakan undang-undang kerana penguatkuasaan dilaksanakan setiap waktu.

zahid-musa-2
KOTA KINABALU:
Jabatan Imigresen diarah lakukan imbasan kad pengenalan secara rawak di pintu keluar masuk udara di Sabah bagi menghalang mana-mana pihak berlepas ke Semenanjung menggunakan kad pengenalan palsu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen menambah penempatan pegawai imigresen di lapangan terbang di Sabah bagi tujuan itu.

Menurutnya, melalui tindakan itu, pihak berkuasa dapat mengesan lebih awal sama ada kad pengenalan digunakan seseorang itu asli atau sebaliknya.

Ahmad Zahid, yang juga menteri dalam negeri berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen sudah mengambil beberapa langkah keselamatan terutama di pintu keluar masuk udara bagi mencegah ancaman keselamatan.

“Kita di Semenanjung, kita perlu perlihatkan kad pengenalan untuk ke Sabah dan Sarawak. Jadi kaedah ini diguna pakai sebenarnya di pintu keluar udara (di Sabah),” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

zahid-musa-1

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai kemungkinan IS menggunakan Sabah untuk mendapatkan kad pengenalan palsu sebelum menyusup masuk ke Semenanjung.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain.

Menurut Ahmad Zahid, selain penguatkuasaan di lapangan terbang, pihak kerajaan sebelum ini juga mengambil beberapa tindakan dan langkah tertentu bagi memastikan pemegang kad pengenalan palsu tidak terlepas daripada tindakan JPN dan Jabatan Imigresen.

Antara langkah berkenaan, katanya, termasuk membuka kertas siasatan terhadap beberapa sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri susulan beberapa tangkapan oleh JPN dan polis.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan melalui unit penguatkuasaan di JPN dengan kolaborasi polis.

Mengenai mengapa Sabah menjadi tumpuan mendapatkan kad pengenalan palsu, Ahmad Zahid berkata: “Sebab sindiket, kerana kemasukan pekerja-pekerja asing dan tenaga buruh dari negara jiran yang cukup dekat menyebabkan perkara ini berlaku”.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa tidak akan melepaskan sindiket dan pemegang kad pengenalan palsu berkenaan daripada tindakan undang-undang kerana penguatkuasaan dilaksanakan setiap waktu.

“Tidak ada hari tanpa penguatkuasaan. Jabatan Imigresen ‘tidak ada hari tanpa operasi’. Ini ‘tagline’ kita,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.