Shafie terlambat tolak tuntutan Filipina ke atas Sabah, kata PBRS

Arthur-Kurup-1PETALING JAYA: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyifatkan tindakan Datuk Seri Shafie Apdal berjanji menghapuskan tuntutan Filipina ke atas Sabah, jika Parti Warisan Sabah (Warisan) membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 sebagai cubaan memancing undi.

Timbalan Presiden PBRS, Arthur Kurup, berkata Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman terlebih dahulu menyuarakan pendirian mereka berhubung isu itu.

“Ini semata-mata mahu mendapat perhatian media. Kenapa dia hanya membuat kenyataan itu sekarang? Dia tidak pernah menyuarakan pendiriannya mengenai isu ini sebelum ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, presiden Warisan itu “cuba mendapatkan sokongan rakyat” untuk kepentingan politiknya kerana isu tuntutan Filipina ke atas Sabah adalah sumber utama perdebatan.

“Dia sudah dipersoal dan dicabar menyuarakan pendiriannya. Dia pasti berasa terpaksa berbuat demikian, khasnya apabila pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.”

Kurup berkata demikian susulan ucapan Shafie dalam sebuah majlis hujung minggu lalu, di mana ahli Parlimen Semporna itu berjanji akan memastikan kerajaan persekutuan menjadikan isu itu agenda utama mereka.

Isu itu mendapat perhatian apabila bekas presiden senat Filipina, Aquilino Pimentel Jr mencadangkan Sabah dijadikan wilayah Filipina dalam usaha negara itu beralih kepada sistem persekutuan.

Pimentel mencadangkan Sabah menjadi negeri ke-13 selepas Luzon Utara, Luzon Tengah, Luzon Selatan, Bicol, Visayas Timur, Visayas Tengah, Visayas Barat, Minparom, Mindanao Utara, Mindanao Selatan dan Bangsamoro, untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu.

Anifah: Malaysia tak layan sebarang tuntutan terhadap Sabah

Sabah kekal milik Malaysia, kata Musa Aman