Kes Kevin Morais: Tertuduh muntah, cirit birit, bela diri ditangguh

kevin-morais-1KUALA LUMPUR: Perbicaraan membela diri hari ke-6 kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi hari ini ditangguhkan kerana 2 tertuduh dalam kes itu muntah dan cirit-birit.

Peguam V Rajehgopal memaklumkan kepada mahkamah, 2 anak guamnya iaitu tertuduh ke-5, M Vishwanath dan tertuduh ke-7, S Ravi Chandaran dipercayai mengalami keracunan makanan.

“Saya tidak fikir Vishwanath boleh memberi keterangan hari ini kerana muntah-muntah di dalam bilik lokap mahkamah,” katanya yang kemudian memohon prosiding hari ini ditangguhkan kepada hari lain manakala Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin tidak membantah permohonan itu.

Hari ini sepatutnya mahkamah mendengar keterangan pembelaan Vishwanath, yang merupakan saksi pembelaan ke-4.

Hakim Datuk Azman Abdullah berkata mahkamah juga khuatir jika perbicaraan diteruskan akan menjejaskan kedua-dua tertuduh dan beliau menangguhkan perbicaraan kes itu kepada 9 April.

Terdahulu sebelum prosiding bermula, kedengaran 2 individu yang berada di lokap mahkamah muntah-muntah sebelum dimaklumkan mereka tertuduh dalam kes itu.

R Dinishwaran, 26; A K Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; S Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 September 2015.