PRU14: Peralihan undi Melayu tak jamin PH menang

PRU14: Peralihan undi Melayu tak jamin PH menang

Pusat Ilham membuat kesimpulan itu berdasarkan temubual penduduk selama 6 bulan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak dan Selangor.

Free Malaysia Today
Hisommudin berkata sentimen antara pengundi berbeza mengikut negeri.
KUALA LUMPUR:
Satu badan kajian politik mendapati rasa tidak puas hati menular dalam kalangan pengundi PAS dan Umno tetapi belum cukup untuk Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata itulah dapatan daripada temubual dengan penduduk selama 6 bulan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Selangor.

Beliau berkata temubual dipecahkan kepada 6 kumpulan antaranya anak muda, wanita, penyokong PH dan penyokong Umno.

Beliau berkata, sentimen berbeza mengikut negeri.

“Di Terengganu, ketua kampung Umno kecewa mereka tak dapat menjawab dakwaan pembangkang tentang kos sara hidup.

“Ahli PAS di Kelantan merasakan kerajaan negeri tidak melakukan secukupnya untuk Orang Asli dan mengurangkan banjir kilat,” katanya selepas forum tentang langkah persempadanan semula oleh SPR.

Beliau berkata pengundi merasakan PH mesti turunkan calon berkemampuan di 2 negeri itu.

“Mereka masih belum biasa dengan PPBM. Tetapi kalau nama besar dipilih untuk bertanding, mungkinlah ada sokongan,” kata Hisommudin.

Di Kedah pula, pengundi dari Kubang Pasu, Langkawi, Pokok Sena dan Kuala Kedah masih menggemari pembangkang.

“Tapi kalau anda pergi ke kawasan seperti Padang Terap, Sik, Baling dan kawasan lain, BN masih kuat.”

Di Johor, Hisommudin berkata PH nampaknya seperti kuat di sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan di negeri itu, tetapi “selain itu Umno nampaknya masih kuat.”

Di Perak, beliau meramalkan “perlawanan sengit” di utara Perak, seperti Bukit Gantang dan Taiping, dan Perak tengah nampaknya masih akan memilih pembangkang.

“Tetapi selatan Perak nampaknya lebih ramai penyokong BN,” tambahnya.

Di Selangor, beliau berkata pengundi bandar mungkin akan mengundi PH manakala pengundi luar bandar mungkin mengundi BN.

“Pengundi bandar di Selangor terbiasa dengan idea pembangkang sebagai kerajaan negeri. Jadi pengundi mungkin mengundi PH.”

Tetapi kawasan seperti Tanjung Karang, Sungai Besar dan kawasan luar bandar lain mungkin dimenangi BN.

Manakala sebahagian besar pengundi Cina dan India pula dijangka mengundi pembangkang.

Beliau berkata hasil penyelidikan itu ialah lebih ramai orang Melayu akan menyokong PH, tetapi bilangan mereka masih kecil untuk gabungan itu menawan Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.