Editor Sarawak Report mahu saman fitnah Hadi dibatalkan

Brown mengadu Hadi memutarbelitkan makna kata-katanya untuk tujuan politik tersembunyi.

PETALING JAYA: Clare Rewcastle Brown memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, antara lain atas alasan intimidasi saksi.

Maklumat diperolehi FMT juga mendedahkan editor Sarawak Report dalam permohonannya mengadu Hadi memutarbelitkan makna kata-katanya untuk tujuan politik tersembunyi partinya, bukan untuk mempertahankan reputasi diri.

Pada masa sama, Hadi memohon untuk mengeluarkan sebahagian besar hujah pembelaan Rewcastle Brown yang jika dikekalkan akan membolehkan kes pembelaan memaksakan lebih banyak pendedahan di pihak PAS.

Pendengaran praperbicaraan itu dijadualkan antara 3 April dan 2 Mei ini, pada waktu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PAS sedang hangat berkempen untuk pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei.

Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis Rewcastle Brown yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2017.

Artikel 8 perenggan itu mendakwa wang sebanyak RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi mereka supaya menyokong Umno dan BN.

Dalam hujah pembelaannya April lepas, Brown berkata, pemimpin PAS itu tidak dinamakan atau dikenal pasti dalam artikel berkenaan.

Beliau berkata, saman Hadi adalah pencerobohan terhadap haknya dan hak kebebasan bersuara orang awam, terutama untuk membincangkan hal politik.

Brown menambah Hadi memfailkan saman bukan untuk melindungi imej dirinya, tetapi untuk tujuan tidak sah melindungi reputasi PAS dan memajukan tujuan politik parti itu dan sekutu politiknya, iaitu Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kenyataan yang terkandung dalam artikel tersebut berkepentingan awam.

Dalam tuntutan balasnya yang difailkan pada 11 Oktober, Brown menuduh Hadi berkomplot dengan Najib atau ejennya untuk mengeksploitasi kes itu untuk kepentingan mereka.

“Mereka mahu mencemarkan nama baik saya dan Sarawak Report dalam kempen sah kami untuk menyingkirkan Najib daripada jawatannya dan membawanya ke muka pengadilan kerana dakwaan salah laku rasuah dan jenayah,” katanya dalam kertas mahkamah yang dilihat oleh FMT.

Rewcastle Brown juga mendakwa Hadi, sama ada oleh dirinya sendiri atau ejennya, terlibat dalam penerbitan sejumlah artikel yang menyerang, memfitnah dan mengganggu beliau di laman web The Third Force dan Malaysia Today.