Umno pecat 16 ahli heret parti ke mahkamah

Kumpulan 16 individu itu diketuai Ketua Umno Cawangan Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid.

PUTRAJAYA: Enam belas ahli Umno yang memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, dipecat hari ini berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata tindakan mereka jelas bertentangan Fasal 20.7 perlembagaan Umno yang menetapkan mana-mana ahli memfailkan permohonan atau tindakan mahkamah akan hilang keahlian secara automatik.

“Semua 16 orang ini barangkali gunting dalam lipatan, duri dalam daging. Kalau hendak mengkhianati parti, lebih baik keluar parti supaya kita boleh kenal siapa musuh kita, daripada duduk dalam parti jadi anai-anai.

“Saya telah bincang dengan peguam semalam dan semua 16 orang tersebut dipecat. Saya akan keluarkan surat hari ini,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah tempat letak kereta bertingkat di Presint 8 di sini, hari ini.

Beliau percaya tindakan 16 individu itu didalangi pihak luar yang tidak berpuas hati dengan Umno.

“Saya tahu apa yang berlaku kerana puak-puak belah pembangkang kononnya hendak buat ‘tit for tat’ (balas dendam). Dia tidak boleh jaga parti, dia yang ada masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) dan dia tahu dia lemah dan akan kalah, jadi dia buat pelbagai onar,” katanya.

Semalam, 16 ahli Umnno mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan Umno sebagai parti politik kerana menangguhkan pemilihan parti.

Tengku Adnan berkata, tuduhan itu tidak berasas memandangkan beliau selaku setiausaha agung Umno sudah meminta JPPM menangguhkan pemilihan sehingga April 2019.

“Kalau JPPM tidak beri (kelulusan), kita sudah lakukan (pemilihan parti),” katanya.

Beliau berkata, laporan sebuah portal berita kononnya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh menandatangani surat watikah untuk calon parti itu bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) susulan pemfailan semakan kehakiman itu juga tidak benar.

“Tiada masalah. Kita ikut perlembagaan dan kita akur dengan undang-undang yang ditetapkan JPPM.”

Dalam pada itu, menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan pengerusi BN negeri masing-masing mulai esok hingga Selasa depan.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua BN negeri dan terpulang kepada mereka untuk membuat pengumuman dalam tempoh ditetapkan itu.

“Bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, pengumuman calon dan manifesto akan dibuat pada 9 pagi esok di Pusat Dagangan Dunia Putra.”

Katanya, beliau sudah menerima keputusan saringan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jabatan Insolvensi terhadap semua calon yang dipilih untuk mewakili BN pada PRU14.

16 ahli Umno mohon mahkamah bubar parti

Ahli heret Umno ke mahkamah tiada ‘locus standi’