Adakah Dr M, Muhyiddin berdepan konflik, soal Tawfik

Tawfik Ismail berkata, satu-satunya orang Dr Mahathir dalam senarai calon Johor ialah Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Seorang bekas wakil rakyat tertanya-tanya jika wujud konflik antara Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan pengumuman senarai calon Johor, baru-baru ini.

Tawfik Ismail yang merupakan ahli Parlimen Sungai Benut dari 1986 hingga 1990, berkata anak saudaranya yang juga penyokong kuat Dr Mahathir, Tariq Ismail, tidak dicalonkan di Sri Gading, walaupun ramai menjangkakan beliau dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen itu.

Beliau mendapati Datuk Osman Sapian dan Tosrin Jaravanti yang dianggapnya “orang Muhyiddin”, terpilih sebagai calon.

Katanya, walaupun kedua-duanya merupakan veteran Umno, tetapi mereka tidak begitu berpengaruh.

Osman dicalonkan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan Tosrin untuk DUN Bukit Permai.

Osman merupakan setiausaha PPBM Johor, sementara Tosrin ialah pembantu Muhyiddin semasa mereka berada dalam Umno.

Tawfik berkata, satu-satunya “orang Dr Mahathir” dalam senarai calon Johor ialah Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman yang dicalonkan untuk kerusi Parlimen Muar.

“Tetapi Muar kerusi sukar” untuk dimenangi pembangkang, katanya sambil menambah pengaruh keluarga diraja Johor kuat di situ.

“Keseluruhan senarai calon itu tidak kuat dan nampaknya akan kalah.

“Barisan Nasional (BN) belum mengumumkan calon mereka. Dengan mengemukakan calon mereka lebih awal, PPBM memberi peluang kepada BN memperhalusi senarai calon mereka.”

Tawfik berkata, Dr Mahathir nampaknya hilang sebahagian pengaruhnya dan mungkin memerlukan bantuan tempatan, contohnya dalam aspek pengurusan jentera parti di Johor.

Tariq sebelum ini memberitahu FMT, keputusan PPBM tidak mencalonkannya di kerusi Sri Gading tidak mengurangkan sokongannya kepada Dr Mahathir.

“Paling penting sekarang ialah memastikan Tun menang.

“Beliau ada strategi dan tahu apa yang dilakukannya. Saya yakin dengannya.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

caption:
Mohamed Tawfik Ismail berkata, satu-satunya orang Dr Mahathir dalam senarai calon Johor ialah Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman.