Saya kekal bersama PKR, kata Tian Chua

Tian Chua menolak spekulasi mengatakan beliau akan meninggalkan PKR yang disertainya lebih 20 tahun.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Tian Chua menyangkal spekulasi keluar parti disebabkan pertikaian mengenai pemilihan calon, sebaliknya beliau akan terus bersama PKR.

“Saya tidak kata saya keluar parti. Saya yakin dengan perjuangan ini dan saya sudah bersama parti ini lebih 20 tahun, sejak saya muda lagi hingga sekarang,” katanya pada sidang media di Selayang, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, beliau tiada masalah jika tidak dicalonkan pada pilihan raya umum ke-14 dan bersedia membantu calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen itu.

“Saya amat komited dengan parti. Saya percaya pimpinan PKR ada kebijaksanaan untuk memilih calon di Parlimen Batu. Saya seorang reformis.

“Saya tidak ada masalah jika tidak dicalonkan, saya kekal berkempen, tetapi saya rasa amat diperlukan di kawasan pusat. Jika tidak bertanding di Batu, saya tetap memainkan peranan dalam parti.”

Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional, Lim Si Pin dengan majoriti 9,455 undi pada 2008 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2013 dengan kelebihan 13,284 undi.

Sementara itu, Tian Chua mengingatkan PKR tidak tunduk kepada keinginan atau tekanan sesetengah pihak yang cuba mengubah calon dimuktamadkan pucuk pimpinan parti.

“Saya gesa pemimpin berhati-hati dalam memilih calon, bukannya kerana dilobi. Kita mempunyai tugas berat dan tidak seharusnya dilihat hanya memuaskan hati sesetengah pihak.

“Saya masih berharap pemimpin kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempunyai kekuatan untuk bertahan dengan tekanan.”

Beliau menasihatkan pihak yang berminat menjadi calon supaya bersabar dan tidak mengganggu tugas pucuk pimpinan parti.

“Saya ingin ingatkan sesiapa yang ingin jadi calon sila bersabar kerana akan ada peluang untuk mereka memainkan peranan dan sesiapa yang dipilih harus memainkan peranan sewajarnya untuk mempertahankan kerusi.

“Semua pihak harus bersikap tenang kerana ini satu perjuangan besar. Semua tekanan yang diberikan ini tidak sihat. Saya gesa semua pihak berhenti dan bersatu.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14