Kemenangan pertama BN di Negeri Sembilan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding di DUN Rantau.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau Amino Agos Suyub membuat pengumuman itu di Dewan Seri Rembau hari ini.

Terdahulu, Pakatan Harapan Negeri Sembilan tergamam apabila calon Dr Streram Sinnasamy gagal mempamerkan pas calon yang dikeluarkan SPR, menyebabkan beliau tidak boleh memasuki pusat penamaan calon.

Pemimpin utama Umno itu akan diisytiharkan menang tanpa bertanding jika calon PH gagal menyerahkan borang pencalonan sebelum masa penamaan calon diisytiharkan tutup, namun selepas jam 10.00 pagi Dr Streram gagal menghasilkan pas calon.

PAS tidak menamakan calon untuk DUN Rantau.

Mohamad pada sidang media selepas itu berkata cabaran sekarang ialah meyakinkan pengundi keluar mengundi pada 9 Mei nanti untuk calon-calon BN lain.

“Kita mesti jangan lupa Khairy Jamaluddin, calon BN untuk Rembau. Saya takut orang dah rasa senang lenang, ‘dah menang Tok Mat, tak payah lah keluar’,” katanya.

Mohamad Hasan menyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004.