
Zaid dalam tulisan di blog beliau berkata, keamanan dan keselamatan semua rakyat hendaklah menjadi pertimbangan paling penting pada setiap masa dan pemenang hendaklah berjiwa besar sementara pihak yang tewas bersikap sopan.
Katanya kesengitan kempen politik dalam pilihan raya umum ke-14 kali ini tidak ada taranya dalam sejarah kerana persaingan yang berlaku bukan sahaja melibatkan 2 pakatan politik utama, tetapi juga antara 2 tokoh iaitu bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kedua-dua pihak saling ‘mencemuh’ antara satu sama lain ke tahap yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini,” katanya.
“Sumber saya dalam Barisan Nasional yakin mereka akan menang 130-140 kerusi Parlimen, sementara kawan-kawan dalam pembangkang percaya akan menang 110 di semenanjung sahaja, tidak termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Zaid berkata keyakinan tinggi di kalangan penyokong PH dan BN mungkin menyebabkan mereka emosi hingga sukar menerima kekalahan.
Zaid berharap pemimpin politik dan pihak keselamatan negara segera membuat kenyataan sepatutnya bagi menenangkan keadaan.
“Kita perlukan kenyataan bersama pemimpin angkatan tentera dan ketua polis meminta semua pihak bertenang dan menghadapi PRU ini dengan aman. Kenyataan bersama ini perlu memberi jaminan bahawa pihak keselamatan akan menghormati keputusan pilihan raya dan akan melindungi semua rakyat,” kata Zaid.
“Najib, sekiranya BN tewas, mestilah bersedia menyerahkan kuasa secepat mungkin untuk kepentingan demokrasi dan bagi menghindari sebarang bentuk kekacauan. Sekiranya peralihan kuasa itu berlaku, hanya beliau dapat menjamin perkara itu,” tulis beliau.
Beliau berkata, penyokong pembangkang mungkin tidak berpuas hati dengan aspek tertentu dalam proses pilihan raya, tetapi apabila mereka bersetuju untuk menyertainya, maka mereka juga mestilah menerima keputusan yang akan berlaku kelak.
“Saya berharap pembangkang juga terima keputusan dan boleh menangani sebab kekalahan mereka,” katanya.