Dr M: Tindakan menanti pegawai tinggi terbabit salah laku

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak teragak-agak menukarkan pegawai tinggi dalam SPRM yang berat sebelah dalam menjalankan tugas mereka. (Gambar Reuters)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pegawai tinggi kerajaan akan ditapis dan mereka yang didapati terbabit dalam salah laku akan dikenakan tindakan.

Beliau berkata, ia termasuk peguam negara dan pegawai tertinggi dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ditanya jika kerajaan akan membuka semula kes 1MDB, katanya, mereka akan meminta nasihat peguam berhubung kemungkinan peguam negara terbabit dalam menyembunyikan bukti salah laku berkaitan kes itu.

“Jika beliau menyembunyikan bukti, itu ialah salah laku. Ia menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden di Yayasan Al Bukhary, hari ini.

Pengerusi PH itu berkata, rasuah boleh menjejaskan lanskap demokrasi politik negara dan kerajaan tidak teragak-agak menukarkan pegawai tinggi dalam SPRM yang berat sebelah dalam menjalankan tugas mereka.

“Kami akan kaji semula sama ada SPRM adil atau tidak, jika mereka ini berpihak kepada mana-mana pihak termasuk kita, kita akan tukarkan, begitu juga dengan mana-mana lagi pegawai tertinggi.”

Katanya, kerajaan akan menyiasat jika berlaku salah laku sepanjang pilihan raya umum ke-14.

“Bila kami dapati memang ada salah laku, kami akan iktiraf ia sebagai rasuah seperti mana wang digunakan untuk merasuah dan membeli undi.

“SPRM lupa bahawa terdapat rasuah di mana-mana dan ada orang yang mendapat rasuah. Kami akan siasat segalanya, kami akan patuhi undang-undang, bukannya membalas dendam.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Najib Razak, jika dia terlibat dengan mana-mana gejala rasuah, kami akan mengambil tindakan terhadapnya.”