
“Saya beri jaminan kepada Dr Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan seluruh kepimpinan PH, bahawa saya sebagai warganegara prihatin akan memberi sokongan penuh kepada mereka untuk menguruskan hal ehwal negara, atas kefahaman kita komited kepada agenda reformasi,” katanya pada sidang media di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, selepas dibebaskan dari tahanan.
Beliau berkata agenda reformasi akan melibatkan badan kehakiman, media dan seluruh aparatus kerajaan.
Ketika ditanya sama ada dia akan memainkan peranan dalam pentadbiran baru, Anwar mengingatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai prerogatif dalam pembentukan Kabinet, tetapi diberi jaminan perdana menteri akan merujuk kepada pimpinan Pakatan Harapan.
“Saya bukan perdana menteri. Perdana menteri ada kuasa untuk tentukan. Dalam sistem PH, perdana menteri telah memberi jaminan untuk menerima setiap pandangan daripada setiap pimpinan parti.
“Saya ada memberi pandangan tetapi sama ada untuk terimanya bukan saya untuk tentukan,” katanya.
Sementara itu, Anwar selepas menjalani hukuman penjara yang panjang, mahu meluangkan masa bersama keluarga.
Beliau juga tidak terburu-buru untuk menjadi perdana menteri.
“Saya beritahu Dr Mahathir, saya tidak perlu berkhidmat dalam Kabinet pada masa ini,” katanya.