Lantik peguam negara selia siasatan 1MDB, kata peguam

Lantik peguam negara selia siasatan 1MDB, kata peguam

Para peguam berkata hanya peguam negara boleh melihat kertas siasatan dan mengenakan undang-undang yang betul untuk merangka pertuduhan terhadap suspek.

PETALING JAYA:
Para peguam hari ini menggesa kerajaan melantik peguam negara untuk mengkaji semula atau memberi arahan lanjut kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang menyiasat 1MDB.

Beliau berkata hanya peguam negara, yang juga pendakwaraya awam, boleh melihat kertas siasatan dan mengenakan undang-udang dan prosedur yang betul untuk mengenakan pendakwaan terhadap suspek.

Beliau memberi amaran sebarang penangguhan dalam melantik peguam negara akan menjejaskan kes itu sert keyakinan orang ramai terhadap penegakan hukum.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Madzhar berkata kerajaan Pakatan Harapan harus segera tamatkan kontrak Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan lantik calon yang sesuai.

“Dia didakwa menyembunyikan bukti berhubung 1MDB dan bersubahat dalam jenayah,” katanya.

Kontrak 3 tahun Apandi sepatutnya berakhir 27 Julai ini. Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini bagaimanapun melanjutkan kontraknya untuk 3 tahun lalu.

Apandi diminta bercuti selepas PH mengambil alih kuasa. Sementara itu peranan dan fungsi peguam negara diambil alih peguam cara negara.

Semalam, Jabatan Perdana Menteri berkata satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB.

Pasukan khas itu akan menjalankan siasatan terperinci, mengesan dan menyita aset, dan melakukan pendakwaan terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Ia terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, polis, Bank Negara Malaysia dan peguam-peguam dengan kepakaran dalam perkara berbangkit.

Ia diketuai secara bersama oleh bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull.

Ini disamping satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan minggu lepas yang diketuai bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

Talib memberitahu pemberita semalam bahawa kedua-dua pasukan komited menjalankan siasatan yang adik dan menyeluruh ke atas 1MDB.

Peguam R Kengadharan berkata hanya penyiasat dari polis, SPRM dan Bank Negara yang boleh terlibat dalam siasatan.

“Hanya peguam negara merangkap pendakwa raya boleh mengkaji kertas siasatan dan memberi arahan untuk mendapatkan bukti lanjut dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata menjalankan siasatan tanpa kehadiran peguam negara langkah yang berbahaya kerana bukti yang dikumpul boleh dicabar.

“Kerajaan baru perlu melantik seorang peguam negara yang berpengalaman, cekap dan berpengetahuan untuk menyelia penyiasat dan memastikan bukti yang dikumpul boleh mendapatkan pensabitan terhadap mereka yang didakwa,” katanya.

Kengadharan berkata peguam negara, yang juga penasihat undang-undang kepada kerajaan, mesti pastikan kes sivil dibuat di dalam dan luar negara untuk mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB.

Peguam M Visvanathan pula berkata malang sekali negara tidak mempunyai seorang peguam negara yang berfungsi walaupun sudah mempunyai kerajaan dengan pelantikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli Kabinet.

“Akan berlaku kehakisan keyakinan dalam kalangan rakyat terhadap penegakan hukum kerana peguam negara, yang juga pendakwa raya awam, menjaga kepentingan orang ramai,” katanya.

Visvanathan berkata Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain, semua kerta siasatan dan bukti mesti disaring oleh peguam negara sebelum suspek didakwa.

“Saya tidak nampak apa-apa sebab yang memerlukan kewujudan sebuah pasukan khas dan sebuah jawatankuasa,” katanya, dan menambah 1MDB ialah satu kes yang sensitif dan berprofil tinggi, dan usaha perlu diambil untuk memastikan tiada kebocoran maklumat sulit.

Beliau berkata mereka yang didakwa atas kesalahan berkaitan 1MDB boleh dilepaskan atas sebab teknikal kerana kecuaian pendakwaraya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.