Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara tepat, kata Mukhriz

Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara tepat, kata Mukhriz

MB Kedah itu berkata kerajaan Persekutuan perlu ada Peguam Negara yang cekap, serius dan cemerlang seperti Tommy.

Free Malaysia Today
Mukhriz Mahathir berkata pemilihan Tommy Thomas dapat membantu kerajaan untuk mengambil tindakan dalam banyak kes terutamanya 1MDB.
ALOR SETAR:
Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V adalah bertepatan dengan keperluan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata seorang Peguam Negara yang diperlukan itu mestilah seorang yang cekap, cemerlang dan mempunyai reputasi yang baik dalam menjayakan segala siasatan dan tindakan undang-undang.

“Saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana berkenan dengan pilihan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara yang baharu.

“Saya yakin dengan pemilihan ini ia dapat membantu kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang dianggap bersalah. Kita boleh lihat banyak kes yang berbangkit sepanjang pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini terutamanya 1MDB,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Jom Adik Shopping Raya’, hari ini.

Mukhriz yang juga menteri besar Kedah berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga dikhabarkan menggunakan khidmat sepasukan peguam kanan Amerika Syarikat termasuk John Ashcroft bagi menghadapi siasatan berhubung isu 1MDB.

“Ini menunjukan dia (Najib) telah bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang berhubung isu 1MDB sebab itu dia mengambil khidmat salah seorang yang agak terkenal selain peguam lain yang hebat.

“Sebab itu pihak kerajaan Persekutuan perlu ada Peguam Negara yang cekap, serius dan cemerlang seperti Tommy dan saya yakin dia dapat melaksanakan tugas dengan baik seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.