Peguam negara tak patut ketuai jawatankuasa siasat saham Azam, kata G25

Peguam negara tak patut ketuai jawatankuasa siasat saham Azam, kata G25

Kumpulan mewakili pesara kanan perkhidmatan awam berkata pelantikan mungkin menimbulkan persepsi konflik institusi.

Dusuki Mokhtar n Azam Baki
Semalam, kerajaan umum Peguam Negara Dusuki Mokhtar (kiri) akan mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan pemilikan saham dihadapi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
PETALING JAYA:
Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) menyuarakan kebimbangan mengenai pelantikan peguam negara mengetuai jawatankuasa khas menyiasat dakwaan pemilikan saham dihadapi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Kumpulan itu berkata, pelantikan AG sebagai ketua jawatankuasa itu mungkin menimbulkan persepsi konflik institusi, memandangkan peranannya sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pendakwaan.

“Walaupun AG boleh duduk dalam jawatankuasa khas berikutan peranannya dalam perlembagaan dan kepakaran undang-undang, beliau tidak sepatutnya mengetuai,” katanya dalam kenyataan.

G25 berkata, siasatan itu bukan sahaja mesti adil tetapi dilihat bebas daripada cabang eksekutif.

“Dalam hal integriti di peringkat tertinggi, kebebasan mesti tiada keraguan. Malah, persepsi pengawasan dalaman boleh melemahkan kepercayaan terhadap proses dan penemuan akhirnya,” katanya.

G25 mencadangkan, keyakinan awam akan lebih terjamin jika jawatankuasa khas itu diketuai hakim kanan bersara atau tokoh yang bebas dan dihormati, tanpa sebarang hubungan pelaporan langsung dalam hierarki pentadbiran semasa.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan meletakkan ketua pesuruhjaya SPRM dalam cuti sementara ketika siasatan dijalankan bagi membuktikan ia memandang serius dakwaan itu dan tiada siapa berada di atas undang-undang atau terlepas daripada pengawasan awam.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, mengumumkan Peguam Negara Dusuki Mokhtar akan mengetuai jawatankuasa khas itu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz turut menganggotai jawatankuasa itu, yang akan membentangkan hasil dan syor siasatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pihak berkuasa tatatertib.

G25 berkata, skop siasatan jwatankuasa itu tidak boleh dihadkan semata-mata terhadap ketua pesuruhjaya SPRM, sebaliknya turut perlu menangani dakwaan lebih luas dan membimbangkan bahawa SPRM sendiri beroperasi seolah-olah seperti ‘mafia korporat’.

“Ini adalah dakwaan serius berkaitan integriti institusi secara keseluruhan dan oleh itu memerlukan semakan menyeluruh, bebas dan komprehensif. Langkah ini perlu bagi mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi kita,” katanya.

Bloomberg sebelum ini mendakwa kewujudan rangkaian longgar ahli perniagaan membeli saham syarikat tempatan sebelum mengugut pihak pengurusan, dengan bantuan pegawai SPRM, bagi memaksa mereka berundur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.