
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, pihaknya akan melaksanakan waran tangkap ke atas Jamal jika berjaya mengesannya.
“Yang boleh saya katakan adalah kami sedang kesan dia dan akan melaksanakan waran tangkap atas dia,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, Jamal berkata, tindakan kerajaan meminta campur tangan Interpol untuk mengesannya bagi kes kesalahan kecil yang membawa denda RM400 hanya membuang masa kerana dirinya masih berada di Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengesan Jamal yang dipercayai melarikan diri ke negara itu.
Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Ampang mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis sudah memberi masa secukupnya kepada Jamal untuk menyerah diri di balai polis bagi membantu siasatan beberapa kes.
Jamal hilang dari Hospital Pakar Ampang Puteri, di mana beliau menerima rawatan sakit belakang, ketika polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah, selepas didakwa atas 3 pertuduhan di depan seorang majistret pada 25 Mei lalu.
Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.
Polis masih menyiasat baki 6 kes berkaitan Jamal, selain pendakwaan 3 kes lain yang dibuat di Hospital Pakar Ampang Puteri, 25 Mei lalu.