SPRM ke Kementerian Pelancongan untuk ‘tanya’

Mirza Mohammad Taiyab menyangkal dakwaan Wee Choo Keong yang kontrak promosi antara Tourism Malaysia dan sebuah syarikat diberikan dalam keadaan mencurigakan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) muncul di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan semalam, dipercayai ada kaitan dengan kontrak ditandatangani Tourism Malaysia dengan sebuah syarikat.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab berkata beberapa pegawai SPRM ke ibu pejabat kementerian itu di Putrajaya untuk “bertanya” semalam susulan beberapa laporan media.

Beliau bagaimanapun berkata, ia bukan siasatan atau serbuan.

“Saya tidak boleh dedahkan lebih banyak…mereka akan beritahu anda bila tiba masanya,” katanya kepada FMT.

Beliau ditanya mengenai maklumat kementerian itu di bawah siasatan SPRM.

Pada 1 Jun lalu, bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menggesa pihak berkuasa mengkaji kontrak promosi antara Tourism Malaysia dan sebuah syarikat yang didakwa diberikan dalam keadaan mencurigakan.

Wee yang juga bekas pengerusi Tourism Malaysia menyifatkan perjanjian itu sebagai “kontrak Speedy Gonzales”.

Beliau mendakwa mesyuarat mengenai perjanjian rundingan terus bernilai RM99 juta itu bersama kelulusan dan pemeteraian kontrak itu selesai dalam masa sehari.

Bagaimanapun, Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Siew Ka Wei pada hari sama menafikan dakwaan Wee yang kontrak promosi projek Pelancongan Pintar itu dibuat tanpa menepati peraturan perolehan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Katanya, semua dokumen yang ditandatangani bagi inisiatif pemasaran digital itu dibuat dengan cara telus dan jelas mengikut prosedur pentadbiran.

Hari ini, Mirza turut menyangkal dakwaan Wee dan kenyataan lebih terperinci akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Wee bagaimanapun memberitahu FMT beliau mempunyai bukti terhadap dakwaan itu, dengan ada di antaranya dimuat naik ke blognya dan beliau akan membuat laporan kepada SPRM.

Tourism Malaysia nafi kontrak syarikat China tidak ikut prosedur