Khairy cabar Zahid, Ku Li rebut jawatan presiden Umno?

Khairy Jamaluddin dikatakan dalam proses menyerahkan borang pencalonannya.

PETALING JAYA: Jawatan presiden Umno mungkin menyaksikan pertandingan 3 penjuru apabila Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dijangka menawarkan diri untuk merebut jawatan itu dalam pemilihan parti akhir bulan ini.

Sumber dipetik The Star berkata, ketua Pemuda Umno itu dalam proses menyerahkan borang pencalonannya kerana tarikh tutup ialah hari ini.

Khairy dijangka berdepan veteran parti yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sudah mengesahkan pencalonan masing-masing.

Pada 1 Jun lalu, bekas menteri belia dan sukan itu mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno, selepas melepaskan jawatan ketua Pemuda.

Sebelum ini spekulasi mengatakan Khairy mungkin menyasarkan jawatan presiden atau timbalan presiden apabila beliau menggesa semua jawatan tertinggi parti dipertandingkan, susulan kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Pemuda Umno Terengganu dan Kedah menyuarakan sokongan kepadanya jika beliau menawarkan diri untuk jawatan presiden atau timbalan presiden.

Zahid yang memangku tugas presiden Umno selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak bulan lepas, merupakan calon pertama menyuarakan hasrat bertanding jawatan nombor satu itu.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li pula mengesahkan pencalonannya semalam. Beliau mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan itu, tetapi kalah tipis dengan 43 undi pada 1987.

Pada 2004, beliau mencabar Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, tetapi gagal mendapat peratusan pencalonan secukupnya.

Media sebelum ini melaporkan ahli perniagaan, Rahmat Azim Abdul Aziz dijangka bertanding jawatan presiden Umno itu.

Pada 3 Jun lalu, Dr Mahathir berkata, Khairy ialah calon terbaik untuk mengetuai Umno.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar melepaskan jawatan sebagai pengerusi Umno Selangor, tetapi akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT).

“Saya akan bertanding MT Umno, tapi saya lepaskan jawatan pengerusi Umno Selangor. Saya undur diri untuk buka laluan kepada calon lain,” katanya dipetik Sinar Harian.

Noh berkata, presiden Umno yang baru akan membuat keputusan berhubung keputusannya melepaskan jawatan ketua Umno Selangor.

 

Ku Li tanding jawatan presiden Umno

Dr M: Khairy calon terbaik jadi presiden Umno