Wakil rakyat Ijok nafi seleweng dana PTPTN

Wakil rakyat Ijok nafi seleweng dana PTPTN

Idris Ahmad yang juga salah seorang calon MB selangor membuat laporan polis terhadap dakwaan seleweng dana PTPTN pelajar Kolej Vision.

Free Malaysia Today
Idris Ahmad berkata tuduhan itu berniat jahat untuk menjejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat dan doktor pakar sakit puan.
PETALING JAYA:
Wakil rakyat Ijok Dr Idris Ahmad menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial mengatakan beliau terlibat dalam penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar Kolej Vision Kelana Jaya (Kolej Vision).

Idris yang disebut sebagai salah seorang calon menteri besar Selangor percaya dakwaan itu bertujuan merosakkan reputasinya sebagai adun dan doktor pakar.

“Saya dimaklumkan anak perempuan saya terdapat dakwaan di media sosial tentang tuduhan ini. Saya hanya penasihat di Kolej Vision. Saya tidak terlibat dalam pengurusan kolej. Visi College melantik saya sebagai penasihat untuk memberi nasihat mengenai pendidikan berkaitan sains kesihatan.

Beliau berkata rasuah bukan darah dagingnya dan menolak sebarang bentuk rasuah.

“Masa tuduhan ini dibuat memang ketara. Ia muncul saat isu pelantikan menteri besar Selangor sedang dibincangkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di kediamannya.

Idris adalah antara wakil rakyat yang dipilih untuk menggantikan Datuk Azmin Ali yang menumpukan perhatian dengan jawatannnya sebagai menteri persekutuan.

Antara calon lain bagi jawatan itu termasuklah Adun Seri Setia Shaharuddin Badaruddin, Adun Sungai Tua Amirudin Shari, Adun Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei dan Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman.

Semalam, Azmin berkata beliau bertemu dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mengumumkan penggantinya selepas pimpinan PKR dan Pakatan Harapan membuat keputusan mengenainya.

“Sultan Selangor memberikan persetujuannya supaya angkat sumpah menteri besar baharu akan diadakan esok pada pukul 9.30 pagi,” katanya.

Idris berkata dakwaan itu tidak berasas itu berniat jahat untuk menjejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat dan doktor pakar sakit puan.

Beliau juga membuat laporan polis di balai polis Kota Damansara pada pukul 7 malam, semalam.

Dalam mesej yang tersebar itu, beliau didakwa terlibat dalam penyelewengan dana PTPTN bagi membiayai yuran pengajian pelajar Kolej Vision. Dana PTPTN adalah pinjaman kerajaan untuk membantu pelajar yang tidak mampu membayar yuran pengajian kolej dan universiti.

Idris berkata beliau sudah pun mendapat penjelasan dan pengesahan bahawa kolej itu tidak pernah mempunyai masalah melibatkan PTPTN atau Kementerian Pengajian Tinggi selepas pembukaannya pada Julai 2005.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.