MB Kelantan: Hubungan dengan kerajaan persekutuan tak perlu ‘orang tengah’

MB Kelantan: Hubungan dengan kerajaan persekutuan tak perlu ‘orang tengah’

Datuk Amar Nik Abdullah berkata ketiadaan orang tengah tidak sepatutnya menjadi isu besar.

Free Malaysia Today
Amar berkata berkata hubungan itu perlu dilakukan secara langsung dan pihaknya tidak mempunyai masalah berhubung perkara berkenaan. (Gambar facebook)
KOTA BHARU:
Hubungan kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan persekutuan tidak sepatutnya diuruskan “orang tengah”, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sepatutnya berlangsung atas semangat federalisme dan “ketiadaan” orang tengah tidak sepatutnya menjadi isu besar.

Amar berkata berkata hubungan itu perlu dilakukan secara langsung dan pihaknya tidak mempunyai masalah berhubung perkara berkenaan.

“Daripada pandangan kita, kalau tiada menteri (atau timbalan menteri kabinet) dari Kelantan pun tidak ada masalah sebab yang penting hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Itulah antara tujuan utama menteri besar (Datuk Ahmad Yakob) membuat kunjungan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) Isnin lepas untuk membina hubungan antara kerajaan persekutuan baru dan kerajaan negeri atas semangat federalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidifiltiri anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang turut dihadiri Datuk Ahmad Yakob di Nilam Puri hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amar berkata kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju untuk memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di Kelantan untuk menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.

Beliau berkata perkara tersebut sudah diputuskan dalam mesyuarat exco baru-baru ini namun jumlah peruntukan akan diberikan belum diputuskan.

“Setakat ini wakil rakyat kerajaan diberi RM100,000 setahun. Jadi ada macam-macam cadangan, ada yang kata nak bagi sama rata, ada yang kata nak bagi kurang sedikit. Itu yang kita tengah bincang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.