Lelaki kahwin kanak-kanak pertahan tindakan, dakwa isterinya sanggup bermadu

Beliau juga menafikan tuduhan rumah tangganya retak dengan dakwaan kononnya isteri pertama dan keduanya menuntut cerai. (Gambar Facebook)

GUA MUSANG: Lelaki yang berkahwin dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun tidak akan melepaskan isteri ketiganya itu walaupun menerima pelbagai desakan dan andaian kurang tepat berhubung perkahwinannya itu.

Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41, berkata pernikahan dengan isteri ketiganya itu yang dikenali sebagai Ayu bukan kes dibawa lari, sebaliknya dipersetujui ibu bapa budak perempuan terbabit dan mereka hadir bersama ketika majlis pernikahan di Sungai Golok, Selatan Thai, 18 Jun lepas.

Katanya beliau berjanji akan mendapatkan sijil nikah isterinya itu 5 tahun lagi apabila mencapai usia 16 tahun sebelum mereka dapat tinggal bersama.

“Saya rasa kecewa apabila menerima pelbagai andaian dan tuduhan mengarut terhadap saya dalam media sosial kerana bernikah dengan isteri ketiga itu.

“Perkara itu sedang saya teliti untuk diambil tindakan undang-undang bagi menutup malu disebabkan tuduhan melampau dan tidak tepat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lalang, Kuala Betis, hari ini.

Che Abdul Karim mengakui sebelum bernikah dengan budak perempuan warga Thailand itu pada 18 Jun lepas, beliau terlebih dahulu menemui ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tinggal di Kampung Panggong Lalat di sini untuk mendapatkan kebenaran dan mereka bersetuju dengan syarat nikah gantung dahulu dan tunggu 5 tahun lagi untuk tinggal bersama.

“Saya pun tahu isteri ketiga ini baru berusia 11 tahun dan tidak bersekolah yang memerlukan masa sehingga umur 16 tahun untuk tinggal bersama dan Ayu juga bersetuju,” katanya.

Nikah gantung bermaksud pernikahan yang berlaku antara pasangan tetapi tidak duduk serumah dalam tempoh masa tertentu yang ditetapkan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.

Beliau juga menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa rumah tangganya retak dengan dakwaan kononnya isteri pertama dan keduanya menuntut cerai.

Katanya kedua-dua isterinya tidak pernah membantah tindakan itu dan turut menerima isteri ketiganya sebagai madu mereka.

Sebelum ini, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya, tular di media sosial sejak Jumaat lepas selepas perkara itu dikongsikan oleh isteri kedua lelaki terbabit.

Berikutan penularan berita itu, pengguna laman sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat mengkritik tindakan lelaki berkenaan dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku.

Kahwin kanak-kanak: Debat kembali kepada umur ‘sebenar’ Aishah

Usia perkahwinan akan dinaikkan, kata Wan Azizah

Ibu bapa restui anak 11 tahun jadi isteri ke-3

Jabatan agama Kelantan: Tiada laporan kanak-kanak 11 tahun dikahwinkan

Putrajaya siasat kes kanak-kanak 11 tahun jadi isteri ke-3