PAS tidak akan kerjasama dengan BN di Sg Kandis

Mohd Amar Nik Abdullah berkata, terpulang kepada ahli PAS mahu mengundi BN, PH atau calon bebas. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: PAS menolak sebarang kerjasama, termasuk duduk sepentas berceramah ataupun berkempen dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS tidak pernah mengadakan perbincangan dengan BN untuk PRK itu.

“Kita tak ada perbincangan apa-apa pun tentang PRK ini (dengan BN), cuma kita buat keputusan tidak bertanding, itu saja. Kita tak turun berkempen sebab kita tak bertanding. Dari segi mengundi, terserah kepada ahli,” katanya pada waktu rehat persidangan DUN Kelantan di Komplek Kota Darul Naim.

Sebelum ini, Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mendakwa parti itu dan PAS sepakat mengadakan satu program bersama sempena kempen PRK itu, walaupun tidak dianjurkan secara rasmi atas nama parti.

PRK DUN Sungai Kandis ialah PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Umno cuba dapatkan kerjasama PAS bantu calon BN di Sg Kandis