Dr M perlu cari pengganti Sosma, kata bekas KPN

Hanif menggesa kerajaan merangka undang-undang yang membolehkan kes keselamatan negara yang rumit dibawa ke mahkamah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tun Hanif Omar berkata pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memikirkan undang-undang untuk menggantikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma apabila ia dimansuhkan.

Beliau menjelaskan usaha mendapatkan bukti dalam kes melibatkan keselamatan negara sebenarnya rumit.

“Membawa kes ke mahkamah cakap senang tapi susah. Pasal dia perlukan bukti-bukti yang mana dalam sesetengah kes keselamatan sukar didapati,” kata bekas ketua polis negara itu.

Beliau menggesa kerajaan merangka satu undang-undang yang membolehkan kes-kes keselamatan negara yang rumit dibawa ke mahkamah.

Hanif adalah ketua polis negara ke-4 dan berkhidmat dari 1974 hingga 1994, sebahagiannya ketika insurgensi komunis ke-2.

Pada 22 Julai lalu, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Sosma, undang-undang kontroversi yang diluluskan pada 2012 dan dilihat sebagai pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sosma memperuntukkan langkah-langkah khas bagi membendung aktiviti yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Sosma memberi kuasa kepada anggota keselamatan menangkap seseorang tanpa waran, menahannya orang berkenaan selama 24 jam bagi tujuan siasatan, dan melanjutkan tempoh tahanan orang berkenaan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari. Jaminan tidak boleh diberikan dan hendaklah ditahan sehingga semua rayuannya di mahkamah dibereskan.

Antara yang ditahan di bawah Sosma ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, yang ditahan selama 11 hari kerana peranannya dalam tunjuk perasaan Bersih 5 pada November 2016. Ia juga digunakan terhadap penyokong kuat Dr Mahathir, Datuk Khairuddin Abu Hassan kerana peranannya melaporkan skandal 1MDB kepada pihak berkuasa asing.

Akta Sosma akan dimansuh, kata Dr M

Sosma selamatkan nyawa dan harta, kata Najib