
Katanya latar belakang sebagai seorang ustaz akan menyebabkan penyokong parti Islam itu memilihnya berbanding calon BN.
“Apabila PAS bertanding pengundi susah untuk berikan undi kepada saya. Tetapi bila BN bertanding, penyokong PAS ada pilihan, mestilah dia pilih ustaz,” katanya dalam satu temubual bersama FMT semalam.
Zawawi merupakan pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun dan setiausaha jentera pilihan raya DUN Sungai Kandis serta ketua bilik gerakan utama PKR pada pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.
Beliau yang menyertai gerakan Reformasi pada 1998, aktif di peringkat Cabang Kota Raja dan ranting Jalan Kebun, selain merupakan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama serta ahli jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat.
Baru-baru ini, seorang penganalisis politik berkata PKR sudah hampir pasti akan memenangi pilihan raya kecil tersebut, tetapi lebih penting diperhatikan ialah pergerakan undi penyokong PAS.
Prof Datuk Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Pakatan Harapan (PH) akan terkesan jika penyokong Umno dan PAS bekerjasama, dan keputusan pada 4 Ogos ini boleh menjadi petunjuk kepada trend politik orang Melayu pada masa akan datang.
Zawawi turut melahirkan keyakinannya bahawa majoriti undi yang diperolehinya juga akan meningkat dengan berlakunya pertandingan 3 penjuru.
Selain itu, kata Zawawi, saranan PAS kepada ahlinya supaya mengundi calon BN juga tidak memberi kesan kepada jangkaan kemenangannya.
“Orang Melayu dan orang Islam sudah mempunyai kematangan dan tahu siapa yang mereka harus pilih,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kemungkinan kritikan orang ramai terhadap kegagalan PH menunaikan manifesto pilihan raya umumnya akan menjejaskan undinya, Zawawi yakin pengundi tidak akan berfikir mengenai perkara itu.
“Manifesto itu dijanjikan oleh PH di peringkat nasional, janji kami ialah untuk meneruskan tradisi peduli rakyat di peringkat negeri.
“Ertinya kita mahu memastikan kebajikan dan juga keperluan mereka dapat dilaksanakan dalam program pembangunan negeri Selangor,” katanya.
Mengenai keberkesanan kempen setakat 5 hari ini, Zawawi brkata sehingga kini sambutan daripada pengundi sangat memberansangkan.
“Orang yang saya tak kenal pun mengucapkan tahniah dan memberikan sokongan serta berjanji untuk memastikan ahli keluarga mereka juga menyokong saya. Ini satu perkembangan luar biasa,” katanya.
Tiga calon bakal bertanding dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos depan iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon Bebas, K Murthy.