
Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata ini disebabkan perlembagaan parti membenarkan ahli memilih calon terbaik dalam sesi pemilihan parti dan persaingan yang berlaku membolehkan tujuan itu tercapai.
“Kita dah wujud selama 20 tahun. Kita telah berjuang antara satu sama lain selama 20 tahun juga, tidak ada apa-apa pun yang berlaku.
“Kita tak sama seperti parti lain, selepas berlawan mereka berpecah. Saya bercakap ini merujuk kepada BN,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli semalam mengumumkan akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti dan pada masa yang sama turut memperkenalkan pasukannya, antaranya termasuk Johari dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Rafizi berkata beliau mengumpulkan individu yang banyak berkorban untuk agenda Reformasi sejak 1998 dan berhasrat meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja sebagai bakal presiden parti, tetapi sebagai perdana menteri kelapan.
Mengulas lanjut, Johari berkata, parti itu tidak akan berpecah kerana mereka telah berjuang bertahun-tahun dan masih lagi baik sehingga sekarang.
“Tidak kira apa pun yang mungkin berlaku, kita tetap kukuh,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai “kem” yang bakal dihadapi oleh regu Rafizi, iaitu “kem” Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Johari hanya mengucapkan “semoga berjaya” kepada mereka.
“Saya tak tahu mereka siapa, saya tak tahu jawatan apa yang akan mereka tandingi. Saya hanya boleh bercakap bagi pihak kumpulan kami, iaitu kumpulan Rafizi Ramli,” katanya.
Sumber yang rapat dengan Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, kumpulannya mempunyai hampir 60 orang yang akan bertanding merebut pelbagai jawatan dalam kepimpinan PKR pusat dan juga sayap Pemuda dan Wanitanya.
Azmin bagaimanapun belum mengesahkan sama ada beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya kini, tetapi besar kemungkinan beliau dijangka berbuat demikian, kalaupun hanya untuk tidak mengecewakan kumpulan penyokong yang diketuainya, kata laporan itu lagi.
Wan Azizah nafi wujud kem Rafizi, Azmin menjelang pemilihan PKR