Di Seri Setia, giliran PAS wakili pembangkang, kata Umno

Mohamad Hasan berharap PAS akan memilih calon berkaliber yang boleh menawan DUN Seri Setia dan mewakili pembangkang di DUN Selangor.

SHAH ALAM: Umno memutuskan untuk memberi laluan kepada PAS bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ini ialah titik permulaan dan persefahaman antara 2 parti itu sebagai gerakan politik baru di bawah Malaysia baru.

“Laluan tersebut sebagai timbal balik yang telah diberikan PAS dalam PRK DUN Sungai Kandis. Kita akan bersungguh-sungguh membantu PAS di sana, saya sendiri akan turun.

“Cuma kita harap PAS pilih calon yang berkaliber untuk dibawa sebagai wakil rakyat dalam DUN Selangor,” katanya dalam sidang media di pejabat DUN Sungai Kandis, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam turut menyambut baik keputusan itu.

“Tidak kira apa juga keputusan pada esok, saya dan teman-teman akan membantu calon PAS PRK DUN Seri Setia. Kita akan pastikan ukhwah dan kerjasama yang terjalin di antara Umno dan PAS dapat berterusan dan bukan bersifat sementara.”

Katanya, beliau dimaklumkan pucuk pimpinan parti yang PAS menyambut baik keputusan Umno itu.

“Pimpinan yang kita jumpa menyambut baik, saya dimaklumkan kepimpinan parti juga ada berhubung dengan pimpinan sebelah sana untuk berbincang. Nampak gayanya mereka berminat bertanding di DUN Seri Setia.”

Adun Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 6.28 petang semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Shaharuddin, 55, menghidap kanser usus tahap 4.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, selepas mengalahkan calon BN, Datuk Yusoff HM Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).