Hapus cukai pelancongan rugikan negara, kata menteri

Mohammad Din Ketapi berkata kerajaan PH akan meneruskan apa sahaja dasar pentadbiran lepas yang memberi kebaikan dan keuntungan kepada negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tindakan memansuhkan cukai pelancongan sebanyak RM10 kepada pelancong asing akan merugikan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Datuk Mohammad Din Ketapi berkata, bagi mengelak kerugian kepada negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan pelaksanaan cukai itu yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN), kerana ia memberi sumber pendapatan kepada negara.

“Hasil penelitian kementerian bersama Kementerian Kewangan, ia memberi keuntungan kepada negara dan tidak beri kesan negatif kepada pelancong dan ekonomi negara,” katanya sambil menambah kerajaan PH akan meneruskan apa sahaja dasar pentadbiran lepas yang memberi kebaikan dan keuntungan kepada negara.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan titah ucapan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan BN sebelum ini memperkenalkan cukai pelancongan berkuat kuasa September tahun lalu.

Cukai itu dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik 1 malam itu ke atas pelancong asing.

Sebelum ini, Mohamad Din berkata kerajaan akan mengkaji semula keperluan pelaksanaan cukai pelancongan dalam memastikan ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.

Sementara, Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencadangkan kerajaan memperkenalkan konsep desa stay berbanding konsep homestay (inapdesa) yang lebih meluas.

Katanya, konsep desa stay adalah lebih meluas serta dapat mempromsikan kampung yang cantik dan menarik di negara ini.

Mohammad Din berkata, konsep desa stay tersebut adalah menarik dan sedia dipertimbangkan di peringkat kementerian.

Dalam perlembangan lain, beliau menjelaskan pihaknya akan menghantar pegawai untuk meneliti status pelancongan di Merbok khususnya Tapak Arkeologi Lembah Bujang yang didakwa terbengkalai.

Putrajaya kaji semula cukai pelancongan