Pegawai tinggi polis dilantik ketuai agensi antidadah

Pegawai tinggi polis dilantik ketuai agensi antidadah

Zulkifli berkata walaupun meninggalkan pasukan polis, AADK mempunyai kaitan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam membantu membanteras dadah.

Free Malaysia Today
Zulkifli berkata pertukarannya ke agensi itu diharap dapat membentuk satu sinergi di antara polis dan AADK serta menjalin kerjasama yang erat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah mengesahkan beliau akan bertukar ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai ketua pengarah agensi itu.

Zulkifli berkata beliau akan melapor diri di AADK, Isnin depan.

“Ketua pengarah AADK yang lama telah bersara dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mempercayai saya untuk menjawat jawatan berkenaan.

“Saya agak terkejut apabila menerima berita itu dan ia merupakan satu penghormatan kepada saya untuk mengetuai satu agensi yang penting kerana masalah dadah adalah masalah utama negara,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis perbarisan bersempena persaraan wajib Komander Pasukan Polis Marin Datuk Abdul Rahim Abdullah, semalam.

Abdul Rahim akan digantikan oleh Timbalan Komander (Kejuruteraan) Pasukan Polis Marin, Bukit Aman, ACP Azmi @Azami Ibrahim berkuat kuasa 16 Sept depan.

Zulkifli berkata walaupun beliau akan meninggalkan pasukan polis, namun beliau berpendapat AADK mempunyai kaitan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam membantu membanteras dadah.

Beliau berkata dengan pertukarannya ke agensi itu diharap dapat membentuk satu sinergi di antara Polis Diraja Malaysia dan AADK serta menjalin kerjasama yang erat.

“Saya akan buat satu sidang media khas mengenai pelantikan saya sebagai ketua pengarah AADK yang baru dalam masa terdekat,” katanya.

Ditanya siapa yang akan menggantikan tempat beliau sebagai pengarah KDNKA, Zulkifli enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada ketua polis negara dan Suruhanjaya Pasukan Polis untuk membuat keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.