Lapor minta duit, 2 pelajar MRSM cedera dibelasah senior

Lapor minta duit, 2 pelajar MRSM cedera dibelasah senior

Kedua-dua mereka ditendang dan dipukul di hadapan dan belakang badan termasuk bahagian kepala beberapa kali dengan keadaan muka mangsa ditutup dengan kain.

Free Malaysia Today
Polis berkata setakat ini 3 pelajar ditahan dan masih mengesan beberapa lagi pelajar yang terbabit dalam kes tersebut. (Gambar Fail)
PARIT:
Polis menahan 3 pelajar lelaki tingkatan 3 selepas terlibat dalam kejadian memukul dan membuli 2 pelajar tingkatan 1 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata kejadian itu menyebabkan 2 pelajar lelaki berkenaan cedera di bahagian badan serta kepala dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Beliau berkata dalam kejadian Isnin lepas, kira-kira pukul 1.00 pagi itu, kedua-dua mangsa ditendang dan dipukul di hadapan dan belakang badan termasuk bahagian kepala beberapa kali sebelum mangsa yang lemah ditinggalkan beberapa minit di bilik menonton televisyen di sebuah blok asrama maktab berkenaan.

“Selang beberapa minit selepas itu, suspek kembali semula. Mangsa cuba menjerit tetapi mulut mereka ditutup dan suspek kemudiannya memegang kedua-dua tangan dan kaki mangsa sebelum menumbuk di bahagian perut beberapa kali dengan kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas kejadian itu, mangsa diberi amaran oleh salah seorang pelajar tersebut untuk tidak menghebahkan perkara itu selain mengarahkan kedua-dua mangsa beredar dari bilik berkenaan dalam tempoh 5 minit jika tidak mahu dipukul lagi.

“Semua suspek menutup muka mereka dengan kain dan keadaan gelap semasa kejadian berlaku menyebabkan mangsa sukar mengecam suspek.

“Mangsa bagaimanapun mengesyaki pelajar-pelajar yang memukulnya adalah pelajar tingkatan 3 kerana 3 minggu yang lepas mangsa ada melaporkan kepada pihak sekolah mengenai kegiatan pelajar seniornya yang selalu meminta duit mangsa,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, setakat ini polis sudah menahan 3 pelajar tingkatan 3 sekolah terbabit petang semalam bagi membantu siasatan dan masih mengesan beberapa lagi pelajar yang terbabit dalam kes tersebut.

Katanya, ketiga-tiga pelajar yang ditahan sudah pun diambil keterangan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis, malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.