4 pegawai JPJ direman keluar lesen tak ikut prosedur

4 pegawai JPJ itu direman 6 hari bermula hari ini.

KOTA KINABALU: Empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman 6 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengeluarkan lesen memandu tanpa mengikut prosedur.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Afiq Agoes selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Faliq Basiruddin.

Semua 4 individu itu yang berumur di antara 26 hingga 29 tahun ialah pegawai JPJ di cawangan Kota Belud, Kota Kinabalu, dan Tuaran.

Faliq berkata semua individu itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu semalam semasa hadir memberi keterangan.

“Mengikut aduan mereka turut didakwa menerima suapan,” katanya kepada pemberita selepas urusan reman itu selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana mengeluarkan lesen tanpa mengikut prosedur.