
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata remaja terbabit berumur 18 dan 14 tahun ditahan di Taman Tun Dr Ismail pada jam 4 petang.
“Permohonan reman ke atas kedua-duanya akan dibuat pagi ini,” katanya ketika dihubungi tetapi tidak menyatakan tempoh tahanan yang diminta.
Penahanan remaja itu dibuat beberapa hari selepas polis Selangor menafikan laporan sebuah portal bahawa kedua-dua mereka ditahan.
Malay Mail Online sebelum ini melaporkan 2 remaja itu ditahan selepas kesan tusukan yang ditemui pada leher Nazrin menyerupai kesan yang dihasilkan oleh anak panah.
Isteri Nazrin, Samirah Muzaffar ditahan awal minggu lepas dan direman selama 7 hari bagi membantu siasatan. Bekas suami Samirah juga ditahan tetapi dibebaskan selepas itu.
Perkembangan ini berlaku hampir sebulan selepas pihak berkuasa mengesahkan kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai pembunuhan. Sebelum ini dilaporkan beliau mati dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya.
Pada masa itu, Cradle Fund mngesahkan laporan post-mortem merumuskan beliau meninggal dunia akibat komplikasi kecederaan yng dialaminya selepas sebuah telefon bimbit meletup semasa dicaj.
Fadzil juga berkata polis belum memutuskan sama ada tahanan reman ke atas Samirah akan dilanjutkan.