Anwar tanding di Port Dickson?

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson yang kini disandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah, kata sumber parti itu.

Menurut sumber itu, keputusan muktamad dibuat malam tadi.

Ini susulan spekulasi berhubung kerusi Parlimen yang bakal ditandingi Anwar dalam misinya untuk kembali ke Parlimen.

Media sebelum ini melaporkan bekas ketua pembangkang itu mungkin bertanding di kerusi Parlimen Nibong Tebal, Alor Setar atau Sungai Petani, bagaimanapun ia dinafikan penyandang kerusi terbabit.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi Anwar di ibu pejabat PKR, hari ini.

Danyal yang merupakan bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).