Humanoid dan robot tarikan Festival Sains Petrosains

Petrosains Sdn Bhd, yang mengendalikan pusat penemuan sains milik penuh Petronas, Petrosains, melancarkan Festival Sains Petrosains 2018 mulai hari ini hingga 16 Sept di Kuala Lumpur City Centre.

Festival tahunan itu, yang merupakan edisi ke-5 pada tahun ini, menyediakan platform bersepadu apabila sektor awam dan swasta, penggiat utama industri dan ahli akademik bekerjasama untuk memberi inspirasi dan memupuk penghargaan terhadap sains dalam masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Dr Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata tema pada tahun ini, “Journey into the Future, One Discovery at a Time”, mencerminkan aspirasi pusat itu untuk maju dan bergerak ke hadapan dengan Revolusi Perindustrian Keempat.

“Kami berharap dapat mempamerkan beberapa ciptaan dan penemuan terkini pada masa ini dan dalam masa terdekat.

“Kami berharap dengan membawa teknologi seperti humanoid dan robot, kami dapat membantu pengunjung berfikir dan bertanya mengenai masa depan dan sama ada mesin akan mengambil alih peranan manusia dalam kehidupan kita,” katanya dalam ucapan pada pelancaran festival itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Tengku Nasariah berkata sebanyak 54 rakan tempatan dan antarabangsa menyertai festival itu pada tahun ini.

Festival itu turut menampilkan program lain seperti ceramah, pameran dan aktiviti berteraskan teknologi mengenai topik penjagaan kesihatan, pendidikan, komunikasi dan masa depan alam sekitar.