Menjelang Asyura, pihak berkuasa pantau komuniti Syiah

Menjelang Asyura, pihak berkuasa pantau komuniti Syiah

Hari Asyura diperingati penganut Syiah sebagai ulangtahun pembunuhan Hussein.

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama di beberapa negeri terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan dipercayai sedang meningkatkan pemantauan terhadap umat Islam bermazhab Syiah menjelang sambutan hari Asyura yang jatuh pada hari ini.

Sumber memberitahu FMT beberapa risalah peringatan mengenai “amalan sesat” sempena Asyura, yang disambut pada setiap 10 Muharram, sudah disebarkan di beberapa pusat yang menjadi tumpuan masyarakat Syiah beberapa minggu lepas.

Hari Asyura disambut pengikut mazhab Syiah dengan mengenang peristiwa pembunuhan kejam Imam Hussein, tokoh penting dalam tradisi Syiah yang juga merupakan cucu Nabi Muhammad.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata beliau menyerahkan keputusan untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap penganut Syiah kepada pihak berkuasa agama, termasuk Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya kena serah itu pada penguatkuasa. Kami menteri hanya buat dasar,” katanya sambil menambah penganut Syiah hanya boleh disabitkan kesalahan jika mereka melanggar undang-undang.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata apa-apa aktiviti berkait mazhab Syiah, yang pernah dilabel “sesat” oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, akan dipantau oleh pihak berkuasa agama.

“Buat masa ini mereka dalam pantauan,” kata Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail ketika ditemui di majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Islam.

Pihak berkuasa Islam di Malaysia menganggap Syiah – mazhab kedua terbesar selepas Sunnah dan diamalkan secara meluas di beberapa negara Timur Tengah – sebagai “menyimpang”.

Di Selangor, khutbah Jumaat kerap memberi amaran kepada umat Islam untuk menolak ajaran tersebut yang dianggap sesat.

Perjumpaan pengikut Syiah sering diserbu dan ditangkap, di mana pengikutnya didakwa dengan kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, tindakan terhadap golongan Syiah biasanya diambil di peringkat negeri.

“Biasanya kita (Jakim) terima laporan dan maklum balas,” katanya.

Pada 31 Ogos lalu, pihak berkuasa agama di Kelantan menangkap 11 orang dipercayai pengikut mazhab Syiah selepas serbuan ke atas sebuah premis di Kota Bharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.