
Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan, yang memanggil 3 saksi sepanjang perbicaraan bermula 22 Ogos tahun lepas, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rafizi, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS), di akhir kes pendakwaan.
“Mahkamah mendengar, membaca dan meneliti keterangan saksi pendakwaan, mengambil kira semua aspek secara maksima, mahkamah dengan ini mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan satu kes prima facie dan mahkamah memanggil OKS untuk membela diri,” katanya.
Umzarul An-Nur kemudian menetapkan 3 hari bermula 27 sehingga 29 November untuk bekas ahli parlimen Pandan itu membela diri. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli manakala Rafizi diwakili Peguam Nik Zarith Nik Moustpha.
Pada 8 April 2016, Rafizi mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” dalam akaun Facebooknya bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak, pada 9 pagi, 18 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu Nik Zarith ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya dijangka memanggil 3 saksi pembelaan dalam prosiding kes itu.
Rafizi ketika ditemui di luar mahkamah menyifatkan keputusan mahkamah untuk memanggilnya membela diri menjadi ruang kepadanya untuk membuktikan kes yang dihadapinya bukan kes fitnah.
“Itu proses biasa (bela diri). Saya tak pernah ada kes (di mahkamah) yang tidak dipanggil membela diri. Saksi-saksi yang kami ada Insya-Allah akan berjaya membuktikan kes ini bukan satu kes fitnah,” katanya.