Tak pernah bincang kerajaan perpaduan Umno-PH, kata Anwar

Tak pernah bincang kerajaan perpaduan Umno-PH, kata Anwar

Anwar Ibrahim menegaskan PH kekal dengan parti gabungan sedia ada iaitu PKR, DAP, Amanah, Warisan dan PPBM.

Anwar Ibrahim ketika majlis Wacana dan Pelancaran Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan di ITBM.
KUALA LUMPUR:
Idea kerajaan perpaduan antara Umno dan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) tidak releven dan tidak pernah dibincang atau dicadangkan dalam gabungan itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu menegaskan PH kekal dengan parti gabungan sedia ada yang disertai PKR, DAP, Amanah, Warisan, PPBM.

“Keputusan kita dalam PH untuk membolehkan kita melonjakkan ekonomi, menyusun negara. Jadi tidak berbangkit cadangan lain, kita tidak bincang, keputusan kita kekal dengan PH.

“Tidak ada cadangan sedemikian (kerajaan perpaduan dengan Umno), bagi saya ia tidak releven untuk dibincangkan.

“Kita komited dengan PH, tidak perlu apa-apa perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Wacana dan Pelancaran buku tulisan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Beliau menambah, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu juga menolak pembentukan kerajaan perpaduan tersebut.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata Umno adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk “kerajaan perpaduan” dengan mana-mana parti PH tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.