Kumpulan bantah Akta Hasutan bidas lelaki ditahan hina PM

Azman Noor Adam direman 4 hari di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan membantah Akta Hasutan membidas penahanan adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam di bawah akta itu yang tidak sepatutnya berlaku kerana bertentangan semangat Malaysia Baru.

Penyelaras Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH), Amir Abd Hadi turut mempertikaikan tindakan polis menahan Azman Noor Adam kerana berkongsi catatan media sosial yang dianggap menghina perdana menteri, awal pagi tadi.

“GHAH melihat ini sebagai satu bentuk intimidasi yang telah diwarisi dari kerajaan sebelum ini.

“Penahanan ini tidak ada bezanya dengan penahanan ke atas aktivis, Fahmi Reza, suatu ketika duhulu yang dikatakan menghina Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri) Najib Razak menggunakan karikatur yang disebarkan melalui media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Lokman dilaporkan berkata, adiknya ditahan sepasukan polis dari ibu pejabat polis daerah Shah Alam kira-kira 3 pagi tadi di rumahnya Bukit Subang, Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dipetik Bernama sebagai berkata, polis mendapat perintah reman 4 hari ke atas lelaki itu di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Amir menggesa ahli politik Pakatan Harapan yang memperjuangkan kebebasan bersuara, tidak cepat melatah dengan kritikan dalam media sosial dan menggunakan undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuara.

“Kebebasan berekspresi dijamin Perlembagaan dan seharusnya dihormati semua.

“Sekiranya terdapat unsur fitnah dan penipuan, tindakan saman boleh diambil.”

Katanya, GHAH turut kesal dengan kerajaan yang gagal menghentikan tangkapan dan pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

“Gesaan agar moratorium dilaksanakan dengan kadar segera telah dibuat sejak hari pertama pertukaran kerajaan oleh organisasi masyarakat sivil.

“GHAH juga menggesa semua pertuduhan yang dibuat di bawah Akta Hasutan yang belum digugurkan seperti kes (penceramah bebas) Wan Ji Wan Hussin digugurkan segera.”