Dr M akan berkempen untuk Anwar di Port Dickson

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad akan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson bagi menangkis khabar angin beliau tidak sehaluan dengan presiden PKR itu.

“Saya bersama semua pemimpin parti akan menghadiri sebuah majlis pada 8 Oktober ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan AlBukhary, hari ini.

Dr Mahathir yang sebelum ini menyatakan beliau tidak akan berkempen untuk Anwar di Port Dickson, mengubah fikiran selepas “pelbagai perkara” yang dikatakan mengenainya.

“Mereka cakap mengenai pertengkaran dengan Anwar. Kemudian mereka kata saya tak sokong Anwar sebab pertengkaran itu.”

Pengerusi PPBM itu turut menolak dakwaan Anwar menggunakan sumber kerajaan ketika berkempen di Port Dickson, susulan laporan beliau menghadiri sebuah program bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada Rabu lalu.

“Ia bukannya majlis kerajaan, ia adalah majlis veteran.

“Ada menteri hadir, tetapi ia bukannya majlis kementerian,” katanya merujuk Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada veteran tentera Zon Port Dickson, kelmarin.

Dalam majlis itu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu memberi jaminan kebajikan tentera akan dijaga, jika Anwar menang pada 13 Oktober ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong susulan peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Anwar akan berdepan 6 pencabar lain, iaitu Mohd Nazari Mokhtar yang mewakili PAS dan 5 calon bebas – bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, Stevie Chan, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.