SPR tak pernah kritik Anwar hadir konsert, kata Art Harun

Azhar Harun berkata, teguran Anwar itu mungkin ditujukan kepada Bersih 2.0. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan pernah mengkritik calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrabim menghadiri sebuah konsert ketika berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Pengerusi SPR, Azhar Harun merujuk dakwaan Anwar dikatakan melanggar peraturan dengan menghadiri sebuah konsert Sabtu lalu.

“Pertamanya, SPR tidak pernah mengkritik apa-apa tentang konsert itu dan kami juga tidak pernah keluarkan kenyataan tentang perkara itu,” katanya kepada FMT hari ini.

Pelbagai pihak mengkritik keputusan Anwar menghadiri konsert anjuran Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani, Kelab Penyokong Anwar serta Muafakat Anak Muda, Sabtu lalu, yang didakwa bertentangan peraturan SPR dan Bersih 2.0 meminta SPR menyiasat sumber yang digunakan untuk menganjurkan konsert itu.

Konsert itu dihadiri hampir 2,000 orang, termasuk isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Anwar mengingatkan SPR dan Bersih 2.0 tidak menyalahgunakan kuasa serta bertindak keterlaluan susulan dakwaan beliau melanggar peraturan kerana menghadiri konsert itu.

Anwar hari ini dilapor menjelaskan beliau menghormati peranan dan kuasa SPR serta menghargai usaha Bersih 2.0.

Katanya, mereka perlu memainkan peranan untuk memastikan calon dan pengundi mempunyai akses terhadap satu sama lain sepanjang tempoh berkempen.

Kelmarin, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, PH tidak terbabit dalam konsert anjuran kelab peminat Anwar itu.

Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun berkata, teguran Anwar itu mungkin ditujukan kepada Bersih 2.0.

“Yang buat kenyataan itu hanya Bersih sahaja. Jadi, itu mungkin ditujukan kepada mereka.”