Kemasukan pelajar tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan dipermudah

Teo Nie Ching berkata, sebab utama kanak-kanak tidak memiliki kerakyatan kerana ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan sebelum anak dilahirkan.

KUCHING: Kementerian Pendidikan bersetuju untuk mempermudahkan proses kemasukan kanak-kanak tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan, di mana mereka hanya perlu mengemukakan sama ada sijil lahir, surat anak angkat atau perintah mahkamah untuk diterima masuk belajar.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata bagi yang tidak memiliki dokumen berkenaan, mereka boleh mendapatkan pengesahan daripada ketua masyarakat atau wakil rakyat masing-masing, dan mereka akan turut dibenarkan mengambil peperiksaan umum UPSR, SPM dan STPM.

Beliau berkata bagi kanak-kanak yang belum memiliki kerakyatan tetapi salah seorang ibu bapanya warganegara Malaysia serta memiliki sijil lahir pula, mereka tetap boleh mendaftar untuk bersekolah di sekolah kerajaan.

“Langkah ini diambil kerana kerajaan berhasrat memberi pendidikan formal kepada semua kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas beliau menyempurnakan upacara perasmian pagar baru, Gate of Alumni Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kuching High di sini, hari ini.

Menurutnya keputusan itu dicapai pada mesyuarat kementerian minggu lepas, untuk diguna pakai pada sesi persekolah Januari tahun depan dengan syarat ibu bapa perlu mengemukakan dokumen yang berkaitan dalam tempoh 2 tahun.

Teo berkata sebab utama kanak-kanak berkenaan tidak memiliki kerakyatan adalah kerana ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan mereka sebelum anak dilahirkan.

Beliau berkata ibu bapa perlu berusaha memohon dan mendapat sijil kerakyatan Malaysia untuk anak mereka supaya mereka boleh mendapat pendidikan yang sempurna dan mendapatkan pekerjaaan.

Katanya menurut statistik yang beliau peroleh daripada Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2016 terdapat 300,000 kanak-kanak tanpa kerakyatan dalam negara yang berumur bawah 18 tahun.

Sementara itu, Teo berkata pihak kementerian juga dalam mesyuarat minggu lepas bersetuju untuk mencetak bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam bahasa Mandarin dan Tamil bagi keperluan pelajar keperluan khas mulai tahun depan.