
Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohamed berkata ini susulan penahanan seorang pelajar asing sebuah pusat pengajian agama Islam di sini berhubung aktiviti keganasan yang didapati memasuki negara ini menggunakan visa pelancong.
“Penggunaan visa pelancong menyukarkan polis mengesan niat sebenar mereka untuk belajar di pusat pengajian agama di Perlis,” katanya selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman meninjau projek pembinaan ibu pejabat baru polis Kontinjen Perlis.
Mushar berkata, operasi pusat pengajian agama di Bukit Jerneh, Kangar itu dihentikan buat sementara dan semua 119 pelajar asing serta 25 pelajar tempatan yang mengikuti pengajian di pusat tersebut akan ditapis bermula esok.
Proses saringan itu dijangka mengambil 1 hingga 3 minggu untuk selesai, katanya.
Menurutnya, sejumlah warga asing yang membuat permohonan untuk belajar di pusat pengajian di Perlis akan ditapis, sebelum mereka dibenarkan berbuat demikian.
Pada 24 September lalu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Bukit Aman menahan 8 lelaki yang dikaitkan dengan aktiviti pengganas, 6 di pusat pengajian tersebut, manakala seorang di Kuala Lumpur dan seorang lagi di Johor.