Keluarga angkat Jepun gembira bila kita bertutur Jepun

Keluarga angkat Jepun gembira bila kita bertutur Jepun

Jenesys2018-Malaysia melibatkan seramai 20 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk media, pensyarah dan penuntut universiti, kakitangan kerajaan serta anggota badan beruniform

Gambar Bernama

“Anak angkat keluarga Jepun…..” Walaupun hanya untuk 3 hari 2 malam perasaan masih bercampur baur sepanjang perjalanan untuk bertemu keluarga angkat yang tinggal di Kami-machi, sebuah pekan kecil di Wilayah Miyagi.

Dikenali juga sebagai Kami-town, pekan kecil ini yang terletak kira-kira satu jam setengah perjalanan dengan bas dari Sendai iaitu ibu kota Miyagi, terkenal dengan kecantikan semulajadinya.

Tinggal bersama keluarga angkat adalah sebahagian daripada program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (Jenesys2018) (Malaysia), di bawah kelolaan Japan International Cooperation Center (JICE).

Ia bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk mengenali dengan lebih dekat cara hidup dan budaya masyarakat negara ‘matahari terbit’ itu.

Jenesys2018-Malaysia melibatkan seramai 20 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk media, pensyarah dan penuntut universiti, kakitangan kerajaan serta anggota badan beruniform.

Jaga tingkah laku

Memandangkan cara dan budaya masyarakat Jepun yang berbeza dengan amalan hidup di negara ini, penyelaras program, Kajihara Akiko (Kaji-san) awal-awal lagi mengingatkan kami agar sentiasa menjaga tingkah laku serta kata-kata selain perlu meminta izin keluarga angkat jika ingin melakukan sesuatu perkara termasuk menggunakan kamar mandi.

Masyarakat Jepun juga amat gembira jika orang luar boleh bertutur bahasa mereka.

Setiap keluarga angkat akan menerima 2 peserta dan saya beruntung kerana dipasangkan dengan peserta yang boleh bertutur bahasa Jepun.

Beliau adalah penuntut tahun 2 Pengajian Asia Timur, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Aisha Rosheila Mohd Ridzuan, 20, yang mesra dengan panggilan Sheila.

Setiap peserta dibekalkan dengan buku panduan perbualan harian bahasa Jepun bagi membantu memudahkan komunikasi dengan keluarga angkat, selain sebuah telefon bimbit untuk menghubungi koordinator sekiranya menghadapi sebarang kesulitan.

Penuh santun dan budaya

Sebaik sahaja bas yang kami naiki mula memasuki kawasan Kami-machi, hati terpaut dengan keindahan alam semulajadi di sekitarnya.

Hijau kuning sawah padi yang luas terbentang disertai langit biru dan cuaca cerah pada hari itu seolah-olah menyambut kedatangan kami.

“Cantiknya!” bisik hati saya.

Kami berkumpul di Yakurai Culture Center, tempat untuk kami ‘diserahkan’ kepada keluarga angkat. Majlis itu dibuat di sebuah bilik khas.

Ketika melangkah masuk, beberapa pasangan suami isteri yang atau lebih tepat bakal keluarga angkat sudah sedia menanti. Mereka semua duduk di atas lantai, duduk ‘cara orang Jepun’ dan ada yang bersila. Masing-masing kelihatan muda, sihat dan bergaya meskipun kami diberitahu purata umur ayah dan ibu angkat sekitar 60 tahun ke atas.

Melintasi mereka, kami memberi tunduk hormat dan mengucapkan ‘Konichiwa’ yang membawa maksud ‘Selamat’ atau ‘Hai’ dan duduk secara bertentangan (saling mengadap). Begitu santun majlis yang diatur.

‘Hajimemashite Otousan, Okaasan’

Saya dan Sheila mencuri-curi pandang ke arah keluarga angkat dan cuba meneka siapa agaknya yang akan menjadi ayah dan ibu angkat kami.

Seorang wanita berkaca mata, berambut pendek asyik memerhati saya dan kemudian berbisik dengan dengan lelaki di sebelahnya lalu kedua-duanya melihat kepada fail di tangan.

Saya dan Sheila mula mengagak mereka berdualah keluarga angkat kami, Keluarga Oizumi. Penganjur sememangnya sudah memberikan maklumat serta gambar peserta program kepada keluarga angkat masing-masing.

Wanita itu kemudiannya melambaikan tangan sambil tersenyum serta memberi isyarat beliau dan lelaki di sebelahnya adalah keluarga angkat saya. Spontan saya mencuit bahu Sheila. Kami berdua membalas senyuman serta mengangguk-angguk tanda faham.

Sebaik sahaja Kaji-san mengumumkan peserta boleh pergi kepada keluarga angkat masing-masing, kami mendapatkan pasangan itu, memperkenalkan diri sambil berkata “hajimemashite” iaitu selamat berkenalan.

Seperti diduga, ibu angkat kami Tsueko, 68, dan bapa angkat Shuichi, 71, amat gembira kerana Sheila mampu bertutur dalam bahasa Jepun. Tanpa menunggu lama, Tsueko meminta izin untuk membawa kami pulang menaiki kereta yang dipandu Shuichi.

Budaya Jepun

Perjalanan ke kediaman keluarga angkat hanya mengambil masa 10 minit. Pada mulanya mereka mahu kami memanggil mereka dengan gelaran “Obasan” (nenek) dan “Ojisan (datuk) kerana usia kami yang masih muda. Namun setelah dipujuk, mereka bersetuju kami menggunakan panggilan “Okaasan” (ibu) dan “Otousan” (ayah).

Pasangan ini tinggal berdua kerana 2 anak mereka bekerja dan menetap di Tokyo. Mereka juga sudah beberapa kali menerima anak angkat dari pelbagai negara melalui beberapa program.

Sampai di rumah, Okaasan menunjukkan kami bilik tidur yang memaparkan ciri tradisional Jepun dengan pintu berdindingkan kertas corak yang cantik. Sudah siap dibentang 2 ‘futon’ tilam tradisional Jepun. Turut disediakan selimut dan tuala mandi.

Kami kemudiannya dibawa melihat bahagian ruang tamu, dapur, bilik basuh baju, bilik mandi, tandas dan sinki. Terdapat 3 tempat berasingan untuk mandi, tandas dan juga sinki untuk mencuci muka atau menggosok gigi.

Selain ruang bilik mandi tidak boleh dibasahkan seluruhnya, di setiap sinki turut disediakan tuala bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan kering selepas digunakan.

Kami diingatkan agar tidak mandi lewat kerana suhu sejuk di kawasan itu selain perlu mengucapkan ‘oyasuminasai’ yang bermaksud selamat malam sebelum masuk tidur.

Mencuba Kimoni, teh Jepun

Banyak yang kami belajar pada malam pertama di rumah keluarga angkat ini di samping merasa keenakan hidangan tempura dan sashimi yang dimasak sendiri oleh Okaasan.

Sebelum makan, menjadi amalan masyarakat Jepun untuk mengucapkan ‘itadakimasu’ yang bermaksud ‘saya dengan rendah hati menerima’, sambil merapatkan kedua belah tapak tangan dan menundukkan kepala sedikit.

Semasa membantu Okaasan mengemas dapur, saya melihat sendiri bagaimana masyarakat Jepun amat mementingkan amalan kitar semula yakni mengasingkan sisa makanan dan pepejal.

Pada malam itu juga kami berpeluang mengenakan kimono. Okaasan memanggil kami ke bilik dan memberikan dua pasang kimono miliknya untuk kami cuba. Saya mendapat warna biru sementara Sheila begitu riang mengenakan kimono berwarna hijau pucuk pisang.

Apabila ke ruang tamu di mana Otousan sedang menonton televisyen, beliau tersenyum melihat saya dan Sheila sudah mengenakan kimono dan terus merakam gambar kenangan. Sebelum masuk tidur, kami diajar cara menyediakan ‘Teh Matcha’ mengikut cara dan tradisi masyarakat Jepun.

Mengenali Kami-Machi

Pada keesokannya, selepas bersarapan, Otosan menyuruh kami bersiap untuk melihat kawasan sekitar rumah. Udara sungguh nyaman dengan suhu sekitar 14 darjah celcius. Pemandangan sawah padi, tumbuhan semula jadi serta gunung Yakurai yang juga dikenali sebagai Yakurai-san yang menjadi simbolik pekan kecil itu, benar-benar mendamaikan.

Selain mengusahakan sawah padi, pesara kerajaan itu turut menanam pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan di kebun yang terletak di belakang dan tepi kediamannya. Antaranya kobis, timun, lobak merah dan putih, cili, bawang, buah kiwi dan pisang kaki.

Kami kemudian di bawa bersiar-siar menaiki kereta ke beberapa kawasan sekitar Kami-machi antaranya ‘Kirigomeyaki’ (muzium dan bengkel untuk membuat seramik) di mana kami berpeluang mencuba sendiri menghasilkan pinggan, mangkuk atau cawan dari tanah liat.

Otousan juga membawa kami ke Yakurai Garden, sebuah lokasi pelancongan yang cukup cantik dengan pelbagai jenis bunga serta ke Yakurai Golf Club, lokasi ayah angkat kami bermain golf dengan rakan-rakannya. Kami berdua yang tidak pernah memegang kayu golf turut berpeluang beraksi.

Aktiviti bersama Otousan dan Okaasan yang bermula sejak awal pagi tamat menghampiri waktu malam. Jangka masa sehari itu memang benar-benar dikhususkan untuk membawa kami bersiar-siar dan makan-makan.

Kenangan terindah

Setibanya di rumah, kami diminta berehat, mandi dan mengemas beg terlebih dahulu kerana esok kami akan mengucapkan ‘selamat tinggal’ dan kembali meneruskan program Jenesys2018 yang lain.

Selesai berkemas, kami ke ruang tamu untuk berbual-bual lalu bermulalah sesi bertukar alamat dan ucapan terima kasih untuk keluarga ini. Pasangan ini turut memberi “resipi kekal sihat” seperti yang mereka amalkan pada usia emas iaitu makan banyak sayur, banyakkan bersenam dan buat perkara yang menggembirakan hati.

Saya dan Sheila turut menyediakan cenderahati untuk keluarga angkat kami dan tanpa disangka, mereka juga mempunyai buah tangan untuk kami berdua. Kami diberi kimono, terompah Jepun, kraftangan yang dihasilkan Okaasan termasuklah beras Jepun yang ditanam sendiri oleh Otousan.

Tiada kata yang boleh menggambarkan betapa baik dan indahnya budi bahasa serta layanan keluarga angkat Jepun ini kepada kami. Kami berdua mengucapkan ‘domo arigato’ dengan perasaan begitu terharu.

Saya juga seikhlas hati turut mengundang keduanya datang ke Malaysia, ke rumah saya.

Berharap agar kami akan datang melawat mereka lagi, Otousan bagaimanapun ada menyebut “Jika datang ke Jepun lagi, singgahlah ke rumah ayah dan ibu. Tapi tak tahulah pada masa tu ayah ada lagi atau tidak”.

Kata-kata itu sebetulnya membuatkan hati kecil saya menangis.

Keesokan paginya, selepas sarapan Otousan dan Okaasan menghantar kami ke Yakurai Culture Center untuk acara rasmi program perpisahan dengan keluarga angkat semua peserta.

Saat mengucapkan terima kasih, selamat tinggal dan melambai kepada keluarga angkat masing-masing, ada antara kami yang menitiskan air mata termasuklah saya sendiri. Bertambah sedih apabila Okaasan mengelap air mata saya.

Biarpun berkenalan dalam tempoh masa yang singkat, kebaikan dan layanan mereka akan menjadi kenangan terindah buat saya sampai bila-bila.

Sehingga kita berjumpa lagi. Sayonara, Otousan dan Okaasan!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.