
Beliau berkata, Umno sudah memfailkan tuntutan di mahkamah untuk mendapatkan kembali wang yang didakwa milik parti itu dan pihaknya menghormati pandangan polis.
“Kita akan mengikuti proses perundangan yang berikutnya, iaitu termasuk membawa kes ini ke mahkamah dan biar mahkamah memutuskannya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, media melaporkan polis dan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan Umno mendapatkan kembali RM116.7 juta dirampas daripada premis dikaitkan dengan bekas presiden mereka.
Peguam kanan persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali dilaporkan berkata, Umno tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan permohonan itu.
Pada 24 September lalu, Umno memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut RM116.7 juta didakwa milik parti itu yang dirampas polis.
Saman itu dikemukakan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai plaintif kes itu.
Ditanya jika Umno mempunyai bukti kukuh wang itu milik parti berkenaan, Zahid berkata, bukti akan dikemukakan di mahkamah apabila tiba masanya.
Dalam perkembangan lain, Zahid mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Sabtu lalu.
“Pendirian kami, siapa saja yang memenangi kerusi dalam pilihan raya kecil, kita ucapkan tahniah.
“Semoga beliau dapat menyumbangkan usaha dalam menterjemahkan makna demokrasi di negara kita.”
Ditanya jika kemenangan Anwar memberi harapan kepada Umno bekerjasama dengan PKR, Zahid berkata, ushaa memperkukuhkan pembangkang akan diteruskan.
“Barisan gagasan pembangkang ini untuk membawa isu-isu rakyat dan kita yakin isu-isu ini merupakan perkara yang menjadi keresahan kepada rakyat keseluruhannya.”
Anwar mengangkat sumpah di Dewan Rakyat semalam, selepas mendapat 31,016 undi, menewaskan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan 5 calon bebas lain, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.