
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Abim ialah antara pertubuhan yang mengangkat dan menerajui gerakan Islam yang progresif dan moderate, selain berjaya melahirkan ramai pemimpin yang disegani di Malaysia.
“Abim telah mendapat penarafan 5 bintang daripada Kementerian Belia dan Sukan dan kita memang mahu memberi penghargaan menerusi bantuan kewangan kepada pertubuhan itu.
“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk memberi apa sahaja bantuan dan dalam masa sama menjadikan pertubuhan ini sebagai contoh kepada NGO belia yang lain,” katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Relawan Malaysia di sini malam tadi.
Syed Saddiq berkata Abim perlu sentiasa komited menjadi benteng dan gerakan utama mempertahankan nasib anak muda, walaupun landskap politik di negara akan sentiasa berubah.