
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata hakim perbicaraan telah menggunakan penilaian maksimum dengan tepat semasa menilai keterangan semua saksi pendakwaan dalam mencapai keputusannya.
“Panel Mahkamah Rayuan telah tersilap apabila menyatakan pembelaan Syed Saddiq tidak sepatutnya dipanggil,” katanya semasa berhujah di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Abu Bakar Jais.
Panel Mahkamah Persekutuan yang turut mendengar rayuan itu ialah Hakim Che Ruzima Ghazali dan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Pihak pendakwaan berusaha mengembalikan sabitan dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas bekas ketua Pemuda Bersatu itu dua tahun lalu.
Pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan harta, dan pengubahan wang berjumlah RM1.12 juta milik Pemuda Bersatu.
Mahkamah seterusnya membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2023 ke atas bekas menteri Kabinet itu.
Hakim Noorin Badaruddin, yang menyampaikan keputusan itu, berkata hakim perbicaraan telah gagal untuk menilai pembelaan Syed Saddiq dan tersilap menganggapnya sebagai penafian semata-mata dan suatu fikiran terkemudian.
Semasa berhujah bagi pertuduhan bersubahat itu, Wan Shaharuddin berkata Syed Saddiq mengarahkan penolong bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim Razali, mengeluarkan RM1 juta daripada akaun bank sayap Pemuda tersebut.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Muar itu mendakwa bahawa dana berkenaan diperoleh melalui usaha kerasnya sendiri.
“Dia adalah dalang yang memaksa pengeluaran wang itu,” kata pendakwa raya itu sambil menambah Mahkamah Rayuan tersalah tafsir ke atas keterangan yang ada.
Beliau berkata, dua saksi pendakwaan — penolong setiausaha Pemuda Bersatu ketika itu, Ahmad Redzuan Shafi, dan bekas penolong bendahari, Rafiq Hakim Razali — telah memberi keterangan bahawa mereka diarah melakukan pengeluaran wang itu semasa mesyuarat di rumah Syed Saddiq, pada awal Mac 2020.
“Arahan itu dikeluarkan selepas Langkah Sheraton dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020,” katanya.
Wan Shaharuddin berhujah, Mahkamah Rayuan khilaf kerana bergantung pada dakwaan Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Ulya Aqamah Husamuddin, bahawa Syed Saddiq tidak mengarahkan pengeluaran wang itu.
“Kami telah menunjukkan bahawa beliau berbohong dalam keterangannya semasa pemeriksaan balas,” katanya sambil menyatakan kenyataan Ulya kepada penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercanggah dengan keterangannya di mahkamah.
Beliau juga berkata, Ulya ‘gagal sama sekali’ untuk menyokong keterangan Syed Saddiq berhubung pertuduhan bersubahat semasa kes pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, yang berhujah pertuduhan penyelewengan, berkata Mahkamah Rayuan tersalah tafsir pertuduhan itu sebagai kes pengubahan.
“Ini adalah salah tafsir yang serius dan memerlukan campur tangan mahkamah rayuan. Panel hakim tidak boleh menulis semula pertuduhan dan mengubah undang-undang,” katanya.
Akram berkata, Syed Saddiq tidak berhak memindahkan RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sejumlah RM120,000 yang dikumpul semasa kempen pilihan raya di Muar, pada 2018.
“Wang itu adalah derma awam, namun beliau dengan tidak jujur membuat pemindahan dalam akaunnya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berhujah bahawa dua pertuduhan pengubahan wang mampu berdiri secara bebas, tanpa bergantung kepada kesalahan predikat bersubahat dalam pecah amanah jenayah dan penyelewengan secara tidak jujur.
Peguam utama Syed Saddiq, Hisyam Teh Poh Teik, akan membuat hujah balasnya esok.