
Hakim Abu Bakar Jais, yang mengetuai panel tiga panel yang mendengar rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan Syed Saddiq, memberikan kedua-dua pihak ‘tempoh bertenang’ selama tujuh hari untuk mempertimbangkan semula kedudukan mereka.
“Saya meminta kedua-dua pihak menilai semula hujahan anda dan maklumkan kedudukan anda. Adakah anda masih berpendapat bahawa kami mesti memutuskan rayuan-rayuan ini sekarang?” soalnya selepas pihak pendakwaan menyelesaikan jawapan balas terhadap hujahan daripada peguam utama Syed Saddiq, Hisyam Teh Poh Teik.
Turut sama bersidang dalam Hakim Che Ruzima Ghazali dan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Tidak jelas atas faktor apa mendorong Bakar, yang juga presiden Mahkamah Rayuan untuk memberi tempoh kepada pihak terlibat membuat penelitian semula.
“Ketika saya menjadi timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara, apa yang kami (anggota pasukan pendakwaan) lakukan ialah mengadakan mesyuarat, dan kami mengkaji semula segala-galanya.
“Saya berharap anda pulang dan membincangkannya jika anda fikir anda masih mampu membuktikan rayuan anda di sini. Jika anda fikir tiada banyak intipati, anda beritahu mahkamah.’ ”
“Kami tidak akan membuat sebarang keputusan buat masa ini. Saya beri masa seminggu,” katanya sambil menambah panel hakim bersidang membuat syor itu kepada kedua belah pihak.
Bakar juga menyatakan penghakiman berasingan akan dikeluarkan jika sesuatu keputusan akhir disampaikan.
Bercakap di luar mahkamah, Hisyam berkata pasukannya akan bermesyuarat untuk mempertimbangkan nasihat tersebut dan akan memberikan maklum balas sewajarnya.
Terdahulu, beliau berhujah bahawa arahan Syed Saddiq kepada rakan parti untuk mengeluarkan RM1 juta tidak membentuk kesalahan bersubahat di bawah Kanun Keseksaan.
“Perbuatan pengeluaran itu tidak termasuk dalam mana-mana lima cabang Seksyen 406 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah jenayah,” katanya.
Justeru, katanya, Syed Saddiq tidak boleh didakwa dan disabitkan atas kesalahan bersubahat kerana mengarahkan penolong bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim Razali, untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun bank sayap berkenaan.
Beliau berkata, sebahagian besar wang itu kemudian digunakan untuk program Covid-19, Ramadan, dan majlis Aidilfitri Pemuda Bersatu pada 2020.
Berhubung dakwaan Syed Saddiq menyalahgunakan RM120,000, Hisyam berkata pertuduhan itu tidak menyatakan siapa pemilik wang tersebut.
Beliau berkata, pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengambil kedudukan bahawa wang itu milik sayap Pemuda, namun kemudian berkata ia adalah derma awam.
Hisyam menegaskan, kes pembelaan merujuk wang itu milik Syed Saddiq kerana beliau sendiri mengumpulkan dana berkenaan dalam dua majlis awam ketika hampir PRU 2018.
Katanya, dua pertuduhan pengubahan wang bergantung kepada dakwaan penyalahgunaan itu, yang tidak dibuktikan, dan Mahkamah Rayuan adalah betul untuk menyatakan bahawa hakim perbicaraan telah tersilap apabila mengarahkan Syed Saddiq membela diri dan kemudiannya mensabitkannya.
“Hakim perbicaraan tidak menilai keterangan pembelaan dan Mahkamah Rayuan terpaksa campur tangan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dua tahun lalu,” katanya.
Syed Saddiq didakwa atas kesalahan bersubahat dengan Rafiq, yang telah diamanahkan dengan dana Pemuda Bersatu berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah jenayah (CBT) dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan mengarahkan Rafiq melupuskan wang itu.
Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang, melalui transaksi masing-masing RM50,000, yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram daripada akaun Maybank Islamic Bhd beliau ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan bersubahat CBT, penyalahgunaan harta, dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.12 juta milik Pemuda Bersatu.
Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman bekas menteri itu, iaitu tujuh tahun penjara, dua sebatan, dan denda RM10 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2023.